PASIR PUTEH - Kekurangan keupayaan fizikal tidak menghalang seorang pemuda menjadi seorang deejay atau penyampai radio yang berjaya mencuri hati pendengar dengan celoteh petah dan bersahaja semasa ke udara di radio Internet, Perindu FM.

Mohd Hafizal Kadir, 31, yang serba kekurangan dengan fizikalnya yang kurus dan mengerekot terpaksa bersiaran sambil terbaring berlapikkan sehelai kain toto.

Ketika ditemui di rumahnya di Kg Tasik Pauh, dekat sini, Mohd Hafizal berkata beliau mula menjadi deejay secara suka-suka dua tahun lalu apabila dipelawa mengisi slot permintaan lagu untuk radio Internet IJAZ sebelum berpindah ke Radio Perindu FM empat bulan lepas.

"Saya tidak boleh lakukan sebarang pekerjaan... hanya terbaring di tempat tidur sepanjang hari dengan makan, pakai malah urusan peribadi semua emak dan kakak serta abang ipar yang uruskan,” katanya.

Mohd Hafizal berkata beliau melayani permintaan lagu peminat stesen radio Internet itu daripada pukul 3 hingga 5 petang.

"Inilah konti tempat saya bertugas dan ini pula peralatan yang saya gunakan sepanjang bertugas," katanya sambil merujuk kepada tempat tidur dan telefon mudah alih yang digunanya sama ada untuk memilih lagu mahu pun berceloteh dan menunaikan lagu-lagu permintaan daripada peminat setianya.

Esah Ismail, 56, ibu kepada Mohd Hafizal berkata anak bongsu daripada dua beradik itu dilahirkan dengan kekurangan fizikal dan susulan itu, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menjadi rumah keduanya.

"Mohd Hafizal boleh mengesot dalam rumah tetapi sejak dua bulan lepas dia diserang strok dan sakit jantung menyebabkan kedua-dua kakinya mengerekot dan hanya terbaring di tempat tidur,” katanya.

Mohd Hafizal yang kematian bapa sejak kecil hanya bersekolah sehingga darjah enam kerana ibunya tidak dapat menghantar beliau ke sekolah berikutan perlu mengurus kakak Mohd Hafizal, Maznah, 33, yang juga cacat anggota.

Deejay istimewa seorang pemuda kurang upaya Mohd Hafizal Kadir, 31, melayani permintaan sambil menunaikan permintaan peminat lagu di radio internet PERINDU FM di rumahnya di Kampung Tasik Pauh semalam. - Foto Bernama

 

Sementara itu, rakan Mohd Hafizal yang cacat penglihatan, Mohd Hafiz Yusof yang dikenali sebagai Deejay Dunia berkata beliau hanya mengetahui keadaan Mohd Hafizal semasa melawatnya di HUSM Februari lepas.

"Semasa ke udara... celotehnya segar, ceria dan bermaklumat," katanya sambil menambah pendengar mungkin tidak menyedari bahawa yang berceloteh itu adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Beliau berharap ada pihak yang sanggup membantu Mohd Hafizal dengan menyediakan kemudahan Internet untuk memudahkan rakannya bekerja.- Bernama

ARTIKEL LAIN:

'Mana ma dan abah?' - Murid SK Kuang ini tak tahu ibu ayah dan dua adik meninggal (8 foto)

'Apa yang saya reti masak saya masak untuk lima adik' - murid tahun enam terpaksa jadi ibu, ayah

Guru mohon doakan kesembuhan dua beradik murid SK Kuang

Tular kisah Ibu bapa Cina hantar anak ke tahfiz, ini cerita sebenar Mike ketika sekolah

'Pelajar Cinta pertama dan adiwira saya' - Cikgu Yasmin buat Menteri Pendidikan kagum dan bangga