KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan masih mengumpul maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan seorang murid tahun enam di Kampung Kandis semalam.

Pengarahnya, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari berkata, pihaknya akan mengumpul maklumat mengenai program akademik yang disertai murid tersebut daripada guru pengiring yang terlibat dan guru besar sekolah tersebut.

Malah katanya, beliau akan berada di Hospital Pasir Putih bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Buat masa ini kita akan menguruskan jenazah dan berdasarkan maklumat awal yang kita peroleh, jenazah masih berada di unit forensik hospital berkenaan.

“Kita berharap keluarganya bersabar dengan ketentuan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.