BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta, Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalinkan kerjasama dua hala untuk meningkatkan kerjasama yang lebih sistematik dalam bidang penyelidikan, penerbitan, akademik serta khidmat masyarakat di antara kedua-dua buah negara.

Majlis menandatangani kedua-dua persefahaman tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Rafi Yaacob dan Rektor UMB, Prof Dr Ngadino Surip, secara langsung dalam talian di laman rasmi Facebook UMK, baru-baru ini.

Perjanjian kerjasama itu, turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Dr Hanisa Hassan dan Direktur Inovasi Alumni dan Kerjasama Antarabangsa UMB, Dr Adi Nurmahdi.

Sebelum ini, kerjasama di peringkat awal antara UMK dan UMB telah dilaksanakan melibatkan geran penyelidikan padanan (matching grant) bernilai RM76,000 untuk kajian tekstil khususnya batik serta kajian mengenai warisan budaya di kedua-dua buah negara.

Menurut Prof Dr Mohd Rafi, kerjasama dua hala ini juga melibatkan pertukaran tenaga pakar fakulti, penyelidik, kakitangan akademik, dan pelajar seperti sabatikal, post doktoral ataupun pertukaran pensyarah (mobiliti) antara kedua buah universiti.

Majlis MoU dan MoA antara UMK dan UMB diadakan secara atas talian.

Selain itu, kerjasama turut dilaksanakan oleh kedua-dua pihak untuk hasil kesusasteraan, hasil penyelidikan dan penerbitan yang berkaitan.

“Kerjasama ini turut membincangkan berkenaan program ijazah bersama (joint degree) atau ijazah berganda (double degree) dan memastikan pemindahan kredit serta pengiktirafan bersama bagi kursus-kursus dan ijazah.

“Kedua-dua pihak akan menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti kuliah tamu, mengadakan penyeliaan bersama bagi pelajar pascasiswazah, menggalakkan penyertaan ahli-ahli fakulti dan pelajar di kongres pendidikan, persidangan, bengkel, simposium, kursus latihan, pameran, dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.

“Pada masa sama, UMK dan UMB juga akan mengadakan program khidmat masyarakat secara bersama dan akan mempertimbangkan sebarang usaha kolaboratif lain yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berharap kerjasama kedua-dua perjanjian ini akan merancakkan lagi bidang-bidang kerjasama diantara kedua-dua buah universiti dan dapat memberi impak yang cemerlang dalam jangka masa panjang.

Artikel menarik

'Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah'

Guru sukarela deko kelas kerana minat dan kepuasan diri, bukan dipaksa atau terpaksa