BACHOK -  Buat julung kalinya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tersenarai pada kedudukan 801-1,000 daripada 1,115 institusi pengajian tinggi (IPT) di dunia untuk tahun 2021 dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Ranking, yang diumumkan pada 21 April 2021.

THE Impact Ranking yang diperkenalkan oleh THE mengambil kira petunjuk yang menilai pencapaian universiti berdasarkan 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang diperkenalkan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali sebagai 17 United Nation’s Sustainable Development Goals (SDG).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMK, prestasi UMK pada THE Impact Ranking kali ini dinilai berdasarkan pencapaian terbaik dalam empat SDG di mana UMK menunjukkan prestasi memberangsangkan pada SDG 2 (Zero Hunger) dan SDG 15 (Life of Land) yang berada di kedudukan ke 201–300 manakala untuk SDG 1 (No Poverty) UMK di kedudukan ke 301–400 .

"UMK turut dinilai pada kedudukan 401+ untuk SDG 7 (Affordable And Clean Energy) dan SDG 12 (Responsible Consumption And Production) manakala bagi SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) di kedudukan 601+ dan untuk SDG 4 (Quality Education) di kedudukan 801+.

"Pencapaian terbaik itu merupakan pengiktirafan global dan petanda positif kepada keberkesanan pelbagai inisiatif UMK ke arah menjadi universiti keusahawanan terkemuka dunia menjelang tahun 2030," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif itu juga adalah selari dengan dasar Kementerian Pengajian Tinggi iaitu University for Society (U4S) yang menekankan bahawa fokus utama universiti juga adalah untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Gambar hiasan daripada Facebook UMK.

INFO

UMK adalah universiti awam (UM) yang ke-19 di Malaysia dan memulakan pengambilan pelajar pada awal Jun 2007.

Kampus Kota UMK terletak di Pengkalan Chepa, manakala kampus tetapnya terletak di Bachok dan Jeli.

Penubuhan universiti awam di Kelantan diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Mac 2006 setelah mendapat kelulusan Kabinet pada Jun 2006.

Prof Datuk Ir Dr Zainai Mohamed telah dilantik sebagai naib canselor pertama berkuatkuasa 1 Oktober 2006.

Artikel menarik

Kaedah secara online paling popular sepanjang PdPR, Cikgu Ahmad Zhafran kongsi sebabnya!

Cantik dan menenangkan, wajah baru perpustakaan SMK Air Tawar tarik perhatian warga maya