Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima sumbangan zakat RM947,251 daripada Lembaga Tabung Haji di bawah Program Iqra’ TH, Institusi Pengajian Tinggi Awam (ipta) dan Program Bantuan Khas Masyarakat.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, majlis penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Pengarah Tabung Haji Negeri Kelantan, Ashrof Shamsuddin di UMK Kampus Bachok, semalam.

"Sumbangan dana zakat berjumlah RM750,000 di bawah program Iqra’ IPT ini akan diagihkan kepada 500 pelajar asnaf di tiga kampus iaitu Pengkalan Chepa, Jeli dan Bachok bagi membantu pelajar asnaf untuk membeli komputer riba dan membiayai yuran pengajian.

"Sumbangan dana zakat daripada Tabung Haji ini diharap mampu meringankan beban pelajar yang kurang bernasib baik  dan turut memberi semangat kepada  mereka untuk meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata pemberian wang zakat kepada 500 pelajar ini dipilih daripada 3,000 permohonan selepas maklumat mengenai bantuan komputer riba dan yuran pengajian diiklankan.

"Seramai 8,003 orang pelajar UMK merupakan mereka yang dikategorikan sebagai B40 dan daripada jumlah itu, hampir 2,000 pelajar termasuk dalam kategori fakir miskin iaitu pelajar yang berpendapatan isi rumah di bawah RM1,000,” katanya.

Noor Azizi berkata baki dana zakat sebanyak RM197,251 akan diagihkan kepada 16 buah masjid dan empat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terpilih di bawah program Bantuan Khas Masyarakat Terjejas Akibat Pendemik COVID-19 dan Terkesan Banjir UMK.
 

Sumber : BERNAMA