KUALA KRAI - Di sebalik kemajuan dicapai negara setelah hampir 62 bebas daripada belenggu penjajahan, masih terdapat kampung yang tercicir dari arus kemodenan.

Kampung tersebut ialah Kampung Miak, terletak 65 kilometer dari bandar Kuala Krai dan hanya boleh dihubungkan dengan kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan tanah merah.

Masa yang diambil untuk ke kampung tersebut pula antara satu jam 30 minit hingga dua jam bergantung kepada kecekapan pemandu.

Jumlah penduduk di kampung berkenaan kira-kira 100 orang terdiri daripada 30 keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan dan menoreh getah.

Sebahagian besar rumah penduduk agak uzur, namun hanya itulah yang mampu disediakan untuk keluarga masing-masing memandangkan rata-rata mereka berpendapatan rendah dan miskin.

Bagaimanapun kesempitan hidup tidak menghalang penduduk Kampung  Miak menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Jasa yang terletak kira-kira 35 kilometer dari kampung berkenaan.

Jarak sekolah dan tempat tinggal yang jauh untuk berulang-alik menyebabkan anak-anak terpaksa tinggal di asrama.

Redah jalan berliku, berdebu

Bagi menyelami kehidupan penduduk di kampung berkenaan, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Pendidikan Daerah dan Krai Team 4x4 meredah jalan tanah merah dan berbatu untuk ke sana.

Rombongan terdiri daripada tujuh pacuan empat roda yang mana dua daripadanya masuk lebih awal bagi meninjau ­kawasan.

Ahli kelab Krai Team 4x4, Mohd Sayuni Md Nor berkata, mereka terpaksa meredah jalan tanah merah berbatu dan berdebu berikutan musim kemarau.

“Jalan berbatu dengan saiz agak besar menyebabkan penumpang terpaksa berdepan ‘hentakan’ dalam kenderaan.

“Bukan itu sahaja peserta rombongan terpaksa melalui jalan berliku untuk sampai ke Kampung Miak menjadikan perjalanan mencabar ditambah kawasannya juga berbukit dan agak curam,” katanya.

Mujur katanya, pemandu pacuan empat roda yang mengikuti rombongan itu terdiri daripada mereka yang mahir selok-belok kawasan balak serta berbukit.

Menurutnya, cabaran di sepanjang perjalanan mungkin pengalaman baharu yang sukar bagi sebahagian peserta rombongan tetapi rutin bagi anak-anak Kampung Miak.

Walaupun berdepan cabaran, rombongan selamat tiba di Kampung Miak menjelang petang dan mereka berkhemah berhampiran sungai kampung tersebut.

Mohd Sayuni berkata, rangkaian komunikasi yang teruk di kawasan pedalaman menyebabkan dia dan ahli rombongan terpaksa menggunakan walkie talkie sebagai alat perhubungan.Agih barangan keperluan

Pengerusi Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Kuala Krai, Abdul Rahman Mohd Razali meluahkan rasa kagum dengan kesungguhan kira-kira 20 murid dari Kampung Miak yang sanggup berdepan pelbagai cabaran untuk menimba ilmu.

Menurutnya, kehadiran mereka di kampung itu bagi menyelami sendiri kehidupan keluarga murid berkenaan.

“Di samping itu kami beramah mesra dengan penduduk dalam usaha untuk mengeratkan hubungan mereka dengan warga PPD dan SK Lela Jasa,” katanya.

Abdul Rahman berkata, menyedari majoriti penduduk hidup susah, beliau bersama ahli rombongan mengagihkan bantuan   Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berupa barangan keperluan harian kepada komuniti di situ.

Katanya, penempatan di Kampung Miak yang berselerak dan ada yang tinggal di sebarang sungai menyebabkan mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menemui penduduk bagi menyampaikan sumbangan ­tersebut.

“Majoriti penduduk hidup dalam keadaan daif tetapi mereka tetap menghantar anak ke sekolah.

“Kehidupan penduduk Kampung Miak harus dijadikan contoh kepada anak-anak yang tinggal di kawasan yang mempunyai pelbagai kemudahan.

“Mereka sepatutnya merebut peluang belajar bersungguh-sungguh kerana tidak ada halangan jika hendak dibandingkan dengan anak penduduk Kampung Miak,” katanya.

Turut serta pada program Ziarah Kasih itu, Timbalan Pegawai PPD Kuala Krai, Tengku Aminudin Tengku Yusoff dan Guru Besar SK Lela Jasa, Mohamad Ab Rahman.