ALOR SETAR - Selepas hampir 50 jam insiden berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand, seorang  remaja Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, masih belum ditemui oleh pihak berkuasa serta keluarganya setakat jam 8 malam tadi (waktu Malaysia).

Ibu saudara mangsa, Mariani Shuib, 49, berharap rakyat Malaysia bersamasama mendoakan agar Mohd Haziq dapat dikesan  dengan segera.

Mariani adalah kakak kepada bapa Mohd Haziq iaitu Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang juga salah seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang cedera akibat amukan gila pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, Christchurch, Jumaat lalu.

Kata Mariani, hanya doa rakyat Malaysia menjadi  kekuatan kepada keluarga mereka yang masih ternanti-nantikan khabar Haziq, yang juga anak kedua Mohd Tarmizi.

Menurutnya, walau dalam keadaan mana sekalipun, keluarga mahu melihat sendiri jasad Mohd Haziq,  selain menolak tanggapan buruk yang tersebar di media sosial.

“Saya mohon rakyat Malaysia mendoakan agar Haziq ditemui, sama ada hidup atau mati, yang penting kita jumpa dia,” katanya dengan nada sebak.

Sehingga kini, nasib Mohd Haziq belum diketahui  selepas dikatakan melarikan diri ketika serangan pengganas di masjid berkenaan, pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Mariani berkata, keadaan ayah  Mohd Haziq iaitu Mohd Tarmizi kini dilaporkan stabil  selepas menjalani pembedahan membuang peluru di belakang badannya.

“Mohd Tarmizi sudah boleh bercakap. Kami sekeluarga rasa sangat lega kerana  pembedahan tersebut berjaya. Dia sendiri yang  mesej saya melalui WhatsApp, beritahu Haziq belum ditemui, namun tidak menceritakan butiran pencarian dilakukan pihak berkuasa di sana,” katanya.

Menurutnya, dia bersama abang kedua, Zakaria  Shuib dan sepupunya, Nordina Ahmad Fauzi, akan berlepas ke New Zealand, hari ini.

“Kami akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa  Pulau Pinang ke Singapura pada jam 3 petang,  seterusnya mengambil penerbangan ke New Zealand,” katanya.

Tiket penerbangan ahli keluarga Mohd Tarmizi dibiayai Kerajaan Kedah, Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena serta pejabat Kementerian Luar.

 

Malaysia pantau kes kehilangan Haziq

 

Kerajaan Malaysia sentiasa memantau perkembangan kehilangan Mohd Haziq Mohd Tarmizi, susulan  serangan pengganas di dua masjid berasingan di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Setiausaha Kedua, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Muhammad  Azhari Azmi berkata, pihaknya kini sedang berhubung rapat dengan Kementerian Luar New Zealand untuk mendapat maklumat terkini Mohd Haziq, 17.

"Sebarang perkembangan terkini hanya akan dimaklumkan polis kepada ibu  Mohd Haziq dan kita bekerjasama erat dengan beliau untuk berkongsi maklumat, sebelum didedahkan kepada umum," katanya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Tarmizi bersama dua anak, Mohd Haziq dan adiknya,  Mohd Hariz bersolat Jumaat di Masjid Al Noor.

Ketika serangan berlaku, Mohd Tarmizi dan Mohd Hariz sempat keluar menyelamatkan  diri.

Bagaimanapun, Mohd Tarmizi cedera ditembak di belakang, namun status Mohd Haziq masih tidak dapat dipastikan.

Mohd Tarmizi antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera ditembak pengganas.