PASIR GUDANG - Keluarga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia yang menghidap myokimia dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Mac lalu akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru pada 17 Julai ini.

Keluarga berkenaan mendakwa Irfan Wafiy Idham, 12, tidak pernah mengalami penyakit berkenaan sebelum kejadian insiden pembuangan bahan kimia di sungai berkenaan.

Peguamnya, Kamarudin Ahmad berkata, saman tersebut melibatkan tuntutan ganti rugi RM5 juta atas keadaan kesihatan yang dialami murid tahun enam itu.

“Kita ada laporan pakar perubatan yang telah melakukan pemeriksaan electromyographic (EMG) ke atas Irfan. Keputusan itu juga menunjukkan Irfan menghidap myokimia.

“Pakar perubatan juga percaya keadaan myokimia Irfan berpunca akibat terdedah kepada kimia toksik insiden Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media di Kompleks Pasir Gudang di sini semalam.

Kamarudin berkata, pihaknya juga mempunyai laporan terdapat kandungan toksik dikesan di sungai berkenaan yang boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan dialami Irfan.

“Antara kimia toksik terlibat dengan Sungai Kim Kim ialah akronitril, acrolein, sianida, methane, xlene, ethylbenzene dan hidogen klorida.

"Selain itu, terdapat juga kimia toulene yang mana ada kemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyakit myokimia ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya juga akan membantu 160 mangsa terdiri daripada pelajar, orang awam dan nelayan untuk memfailkan saman kerana didakwa terkesan atas insiden pencemaran itu.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan negeri sudah maklum dengan kes yang akan difailkan.

"Saya telah maklumkan perkara ini (tuntutan saman) kepada Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya selain satu perbincangan akan diadakan dengan Menteri Besar pada Selasa ini,” katanya.

Artikel berkaitan:

'Myokimia berlaku akibat tekanan otot' - Profesor Hamidon Basri

'Betis saya sakit seperti kena cucuk' - Calon UPSR mangsa pencemaran Sg Kim Kim kini derita Myokimia

Kronologi pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu

Bekas pelajar SMK Sungai Tiram beri info lengkap bahaya 8 kimia Sungai Kim Kim

Setakat ini dikenalpasti lapan kimia berbahaya dalam sampel air Sungai Kim Kim