KUALA NERUS - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu memperuntukkan RM1.7 juta bagi melaksanakan program latihan serta kursus kemahiran untuk masyarakat di negeri ini kata Pengarahnya Dr Faridah Mat.

Katanya, Terengganu antara negeri yang menerima jumlah peruntukan tertinggi dan lebih besar berbanding RM1.2 juta tahun lalu, bagi melaksanakan progam termasuk kursus Sijil Kemahiran Malaysia, keusahawanan rintis, kemahiran jangka pendek, dan lain-lain yang akan memanfaatkan hampir 9,000 peserta.

"Secara amnya kesemua kursus atau latihan yang dianjurkan, bertujuan memberi pengetahuan serta kemahiran kepada peserta agar mereka dapat meningkatkan taraf hidup melalui peningkatan pendidikan dan menjana pendapatan.

"Sebagai contoh kursus latihan ‘quick win’ yang diperkenalkan tahun lalu, terbukti menaikkan jumlah pendapatan bulanan golongan wanita kumpulan B40 daripada RM350 sebulan kepada RM1,000 hingga RM1,500 sebulan," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Kit Peralatan dan Bantuan Mesin 30 Peserta Kursus Quick Win di Pejabat Kemas semalam.

Sementara itu, seorang penerima Anisah Sulong, 45, yang berniaga kuih secara kecil-kecilan di rumahnya berkata beliau amat bersyukur kerana terpilih menerima ketuhar bersaiz besar membolehkan pengeluaran kuih bakarnya meningkat berbanding menggunakan cara tradisional.

"Sebelum ini memang teringin sangat memiliki ketuhar besar dan moden tetapi tidak kesampaian kerana wang banyak dibelanjakan untuk empat anak yang masih bersekolah.

Sebenarnya tempahan diterima sangat banyak, tetapi ada yang terpaksa ditolak kerana tidak cukup masa dan kakitangan," katanya yang menjadi satu-satunya sumber rezeki selepas suaminya, Che Ayob Idris, 46, diserang angin ahmar tiga tahun lalu. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Cikgu ini sanggup bergelumang selut dan menebang balak demi murid SK Ulu Lemanak (24 foto)

'Jaga hubungan dengan ALLAH dan manusia' - Muhammad Irham pelajar huffaz terbaik Selangor

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi