JERTIH - Sekolah mempunyai peranan penting dalam mengembangkan seni dikir barat bagi memastikan budaya popular pantai timur itu terus  berkembang dan tidak pupus ditelan zaman.

Persatuan Pendikir Terengganu, Sulizi Awang berkata, atas kesedaran itu Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri  Terengganu (JPNT) dan Persatuan Pendikir Terengganu (Pendikir) akan menganjurkan Pertandingan Dikir Barat Antara Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2018.

Menurutnya, pertandingan yang julung kali diadakan itu melibatkan 30 buah sekolah  menengah di negeri ini.

"Pertandingan peringkat akhir akan berlangsung pada 8 September bermula jam 9 malam di Dewan Berlian Utama, Kemaman dan pada 11, 14 dan 15 Ogos diadakan peringkat saringan membabitkan daerah yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Bengkel Dikir Barat Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu disempurnakan Pengarah  Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faizal Tun Abd Razak di Dewan Alkhindi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan.

Sulizi berkata, tajuk pertandingan dikir barat itu ialah ‘Pelancongan Menjana Ekonomi Negeri’ dan lapan pasukan akan bertanding pada peringkat akhir melibatkan johan dari setiap daerah.

Katanya, sebanyak 21 buah sekolah menengah menghantar wakil menghadiri Bengkel Dikir Barat dikendalikan Pendikir.

"Turut serta empat kumpulan dari Pendikir yang membabitkan keseluruhan peserta seramai 130 orang  yang turut melibatkan guru-guru,” katanya.

Menurutnya, bengkel asas dikir barat ini diadakan untuk memberi ilmu dan garis panduan yang betul kepada sekolah yang mengambil bahagian dalam pertandingan dikir barat nanti.

Sementara itu Tun Ahmad Faisal mengumumkan jabatannya meluluskan peruntukan sebanyak RM33,000 berupa sumbangan alatan muzik dikir barat bernilai RM1,500 untuk setiap sekolah yang menghadiri bengkel tersebut.