KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan berhasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa keenam paling banyak digunakan di seantero dunia.

Ketua Setiausahanya,  Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, kementeriannya  akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri bagi memastikan hasrat itu  mampu direalisasikan.

“Kita juga akan libatkan Kementerian Luar Negeri supaya di seluruh dunia  kita boleh pupuk penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu.

“Di samping itu, di universiti luar negara kita akan wujudkan lebih banyak  kursus bahasa Melayu supaya ia menjadi bahasa antarabangsa walaupun kita tahu bahasa ini telah menjadi bahasa antarabangsa.

“Tetapi kita nak tinggikan martabatnya. Kita mahu  bahasa Melayu menjadi bahasa keenam terluas  penggunaannya di seantero dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran  Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) Peringkat Kebangsaan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP,  Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom; Ketua Pengarah  DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Sasterawan Negara, Dr Siti Zainon Ismail.

Mohd Gazali berkata,  penganjuran program memperkasakan bahasa  kebangsaan itu membuktikan iltizam DBP dalam  memartabatkan Bahasa Melayu bukan saja di Malaysia malah seluruh dunia.

“Iltizam DBP terserlah  bersama dengan komuniti yang sama-sama mendokong  penggunaan bahasa Melayu. Hari ini kita nampak banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ambil bahagian.

“Itulah yang kita mahu selain usaha daripada kerajaan sendiri. Ini menjadi satu testimoni  bagaimana kita bersamasama  menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program diatur sepanjang  GDBK antaranya kempen  membaca yang akan diteraju oleh DBP. 

“Pihak lain seperti kementerian  bersamasama  menggembleng usaha membantu kita,” katanya.

Artikel Menarik:

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

'Macam-macam jumpa, kadang-kadang dah anggap seperti perkara biasa' - Guru luah apa yang dilalui

Tak berganjak walau seminit...kesetiaan murid UPSR temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak