Betul kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah yang diibaratkan kepada guru bersuara emas, Cikgu Mohamad Khamidon Sadi, dari SMK Seksyen 16 Shah Alam.

Peluang melantunkan suara di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Konsert DiRaja KPM 29 September lalu, merupakan kenangan manis yang sukar dilupakan oleh Guru Kanan mata pelajaran Teknik dan Vokasional itu.  

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menerima sejambak bunga daripada salah seorang murid yang terlibat dalam konsert DiRaja KPM 2019

Ditambah pula, lagu yang didendangkannya ketika Konsert DiRaja KPM 2019 itu, merupakan lagu kesukaan DYMM Permaisuri Agong sendiri.

Antara lagu yang didendangkan beliau, Aryati, Pandang-pandang jeling-jeling, di samping lagu yang dicipta khas untuk baginda, Menjunjung Duli Tuanku.

Tunku Azizah disambut pelajar ketika tiba di Istana Budaya, sambil diiringi Maszlee

Menurut guru yang pernah merangkul gelaran juara Kategori Nyanyian Solo Pertandingan International Festival Dance and Singing Competition Abanico 2019 di National Palace of Culture - Sofia di Bulgaria itu, selain menyanyi, beliau turut berperanan sebagai  guru vokal dan juga guru seni persembahan pentas.

“Perasaan saya ketika itu, bercampur baur. Memanglah saya rasa bangga sebab diberi kepercayaan untuk membuat persembahan di hadapan Permaisuri Agong.

Cikgu Mohamad Khamidon Sadi

“Tapi dalam masa sama risau juga, sebab saya diamanahkan untuk menjaga vokal semua penyanyi dan seni persembahan pentas, yang rata-ratanya adalah murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh Malaysia,”katanya.

Menurutnya, perasaan teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan di pentas yang paling gah di Malaysia itu umpama sebuah mimpi.

Malah, ia juga bagaikan satu cabaran besar apabila kebanyakan mereka yang terlibat dengan konsert tersebut tidak pernah terdedah dengan persembahan berskala besar.

Cikgu Muhammad Khamidon Sadi bersama barisan penyanyi yang membuat persembahan di Konsert Diraja KPM

“Kami membuat persiapan lebih kurang dua bulan, bermula dengan pemilihan pemuzik, penari dan juga penyanyi. Latihan pula dibuat sejak bulan Ogos lalu, tetapi secara berperingkat.  

“Untuk mendapatkan keserasian antara pemuzik, penyanyi dan penari, peserta akan mengikuti lebih kurang tiga kali bengkel dalam masa dua bulan. Setiap bengkel mengambil masa selama lima hari. Bengkel pertama dan kedua dibuat di Warisan Studio Kg Sijangkang Banting, Selangor. Manakala bengkel ketiga diadakan di Hotel Dynasty Kuala Lumpur,”katanya.

Antara guru dan pelajar yang terlibat dalam konsert DiRaja KPM

Jelas guru ini lagi, program itu sangat baik untuk membentuk sahsiah dan kemenjadian murid, di samping membantu menyerlahkan kebolehan pelajar dalam bidang seni.

Biarpun tempoh latihan yang diberikan adalah singkat, namun semua peserta begitu berdisiplin dan berjaya memberikan persembahan yang hebat pada hari tersebut.

Persembahan bertaraf dunia

Konsert tersebut turut membariskan penyanyi dan penari dalam kalangan pelajar dan pendidik, dan mereka mampu memberikan persembahan bertaraf dunia!

Ia selari dengan hasrat utamanya menyediakan sebuah lagi platform kepada generasi muda untuk mempamerkan bakat dan potensi diri dalam seni persembahan yang merangkumi seni muzik, tarian, teater dan seni visual.

Pencapaian terbaik sepanjang 22 tahun penganjuran konsert tersebut, telah berjaya melahirkan beberapa artis ternama, antaranya Haqiem Rusli, Aizat Hamdan, Ayda Jebat, Sarah Fazny dan juga Ilham Flaut, seorang komposer dan penggubah lagu terkenal.

Siti Nur Suhaila Jamil

Pelajar Pendidikan Khas, SMK Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, Siti Nur Suhaila Jamil merupakan antara pelajar bertuah yang terpilih untuk membuat persembahan.

Kata pelajar berusia 13 tahun itu, pengalaman menyanyikan lagu Anta Permana, dendangan Siti Nurhaliza, di hadapan Permaisuri Agong, merupakan kenangan manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Bahkan, ketidakupayaan penglihatan yang dialami pelajar itu, bukanlah penghalang untuknya memberikan persembahan terbaik.

Persembahan nyanyian oleh murid SK Seksyen 20, Razfazreyza Fenge Mat Rafengi

Lagu yang didendangkannya secara duet bersama Guru SK Cyberjaya, Cikgu Rusmalina Abd Jabar, telah berjaya memukau penonton yang hadir pada hari itu.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, SMK Pendidikan Khas Setapak, Cikgu Suraya Ahmad Zathu menjelaskan, Siti Nur Suhaila mula menyanyi sejak tadika lagi. Malah, pelajar Tingkatan Satu itu tidak mempunyai masalah sepanjang mengikuti latihan.

REAKSI

“Saya tidak mempunyai banyak masalah ketika latihan, cuma sedikit cabaran sewaktu menghafal lirik lagu dan memasukkan elemen elemen bersesuaian dengan lagu. Selain konsert DiRaja KPM ini, saya juga pernah terlibat dengan Festival Okestra Pop Patriotisme dan juga dijemput untuk membuat persembahan nyanyian serta tarian di hadapan tetamu Jepun di Sekolah Sukan Malaysia Pahang,” Muhammad Haziq Md Yusof, 13, Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART ) Kuantan,Pahang.

“Pada hari tersebut, saya menyampaikan dua buah lagu, segmen oldies iaitu lagu bahasa Inggeris berjudul “Can’t take my eyes off you” dan segmen pop iaitu “You are the reason.” Di samping medley lagu joget iaitu joget Pahang dan joget sayang di sayang yang dinyanyikan secara beramai-ramai,”Nur Evelyn Eleanor Adrian Gan, 16, SMK Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.

“Konsert ini merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Apabila saya berpeluang buat pertama kalinya membuat persembahan di hadapan KDYMM Raja Permaisuri Agong. Secara keseluruhan konsert ini merupakan satu platform bagi murid-murid dan guru-guru untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka dalam pelbagai bidang kesenian,” Cikgu Nor Hapipah Haji Md Shah, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Seni Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM.

“Program seni ini menggabungkan beberapa eleman, sejajar dengan kehendak pembelajaran abad ke 21. Kreativiti, mereka diajar untuk mengubah bagi mengindahkan sesuatu yang sedia ada tanpa merosakkan seni asalnya. Seperti gubahan muzik yang diindahkan lagi dengan teknik nyanyian dan penerapan kreasi dalam tarian. Manakala nilai murni dan etika pula, pelajar diajar tentang adab menjaga susila. Sementara gabungan kolaboratif dan komunikasi, hasil kerjasama erat, semua peserta berjaya menghasilkan persembahan yang terbaik,”- Cikgu Azerai Azmi, Pensyarah Jabatan Sains, IPG Kampus Pendidikan Teknik Bandar Enstek, Nilai.

“Persembahan yang disajikan malam itu sangat menarik dan luar biasa. Ia membuktikan kehebatan bakat para pelajar dan guru yang terlibat. Hasil gabungan tenaga semua yang terlibat, konsert tersebut berjaya direalisasikan setelah sedekad tidak diadakan. Bagi pihak warga kerja Konsert Diraja KPM 2019, saya amat berbangga konsert tersebut telah berlangsung dengan jayanya. Pengalaman menjadi juruacara untuk majlis penuh berprestij itu, akan sentiasa terpahat dalam ingatan,”Cikgu Illy Nadia Barudin, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Petaling Perdana.

Artikel Menarik:

Hebat betul Cikgu ni, hasil mekapnya bagaikan juru mekap kesan khas profesional

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik

'Wah kemasnya almari kamu!' - Guru ini latih murid seawal tahun dua berdikari

Enam teknik mudah untuk pelajar skor A Matematik - Calon SPM pun boleh guna cara ini