Kuala Lumpur - Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 akan bermula 20 hingga 27 September ini.

Seramai 440,743 calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,100 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara.

Menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 54,253 petugas telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

"Daripada jumlah keseluruhan seramai 430, 031 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 10,721 calon lagi daripada sekolah swasta," katanya.

Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan UPSR 2018 untuk maklumat mengenai peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi ketika peperiksaan berlangsung.

Katanya, jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan menerusi alamat ip.moe.gov.my.

"Calon juga diingatkan supaya membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar," katanya.