Pekan - Mayat kanak-kanak dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas tanah dan pemeriksaan di kawasan sekeliling tidak menemukan sebarang senjata.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, identiti mayat tidak dapat dikenal pasti dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat.

"Bedah siasat mayat akan dibuat pagi esok untuk mengenal pasti punca kematian.

"Siasatan akan diteruskan selepas keputusan bedah siasat," katanya.

Sementara itu seorang ibu, Solihah Abdullah, 35, mendakwa mayat kanak-kanak itu anaknya, Siti Masitah Ibrahim, 11, berdasarkan baju yang dipakainya.

"Saya sendiri pergi melihat dia, betapa luluh hati saya apabila melihat keadaan Siti Masitah di lokasi kejadian. Saya nampak tangannya diikat.

"Saya cam baju yang dipakainya kerana baru seminggu saya beli baju itu untuk Siti Masitah,” kataya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Medang Hilir di sini hari ini.

Katanya, walaupun kejadian ini amat berat untuk diterimanya, bagaimanapun dia bersyukur Siti Masitah akhirnya berjaya ditemui setelah 11 hari menanti tanpa sebarang berita.

Siti Masitah tidak bersekolah biasa tetapi belajar mengaji di Surau Kampung Medang Hilir.

Menceritakan semula kejadian sebelum Siti Masitah hilang, anak ketiga daripada empat beradik tersebut meminta izin untuk keluar rumah dan meminta wang RM1 daripadanya.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak mengesyaki anaknya akan hilang, namun mula risau apabila Siti Masitah tidak pulang selepas waktu Magrib.

"Dia keluar rumah dalam jam 5 untuk ke kedai.. saya pada mulanya tidak perasan kerana tengah jahit baju tapi bila jam 6.30 saya mula risau dan suruh anak sulung saya cari.

"Selepas Magrib, saya makin risau kerana anak sulung saya masih tak jumpa adiknya dan kami minta tolong orang kampung.

"Dalam jam 10 malam orang kampung jumpa basikalnya dan saya terus buat polis," katanya.

 

Kronologi kehilangan Siti Masitah

30 Januari 2018

- Dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir setelah meminta wang RM1 untuk ke kedai runcit ada jam 5 petang.

- Basikalnya ditemui lebih kurang dua kilometer dari rumahnya pada jam 10 malam oleh penduduk kampung.

- Usaha mencari Siti Masitah diteruskan penduduk kampung termasuk melakukan pencarian di kawasan ladang kelapa sawit, iaitu di kawasan sama mayatnya ditemui.

9 Februari 2018

- Mayat mangsa dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

- Ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak sempurna.

- Kepala juga sudah terpisah daripada badannya dan dilaporkan beberapa organ dalaman mangsa tidak dijumpai.

- Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dijangka menjalani proses bedah siasat esok.

 

Ini pula luahan perasaan ibu mangsa yang pilu dengan nasib yang menimpa anaknya.

Berita lanjut boleh dibaca menerusi link ini https://www.gpsbestari.com/berita/pahang/saya-nampak-tangannya-diikat-luluh-hati-saya-ibu-murid-kelas-mengaji-ini-luah-rasa-sedih-1.922075