Demi Masa...

HIDUP UNTUK KITA BANTU MEMBANTU...

Suatu pagi ketika itu...

"Cikgu longkang kat pra tersumbat, air tak boleh mengalir...

Kat mana kak...

Nuhhh...luar pagar...

Tak pe biar saya tengok...

Cikgu nak buat apa...semak cikgu takut ada ular ke apa...

Tak pelah...saya pernah buat kerja lebih susah daripada ni...

Hati- hati cikgu...

Tolong ambil kayu kak...Kayu...

Baru - baru ini, tular berkenaan seorang guru membersihkan kawasan longkang sekitar sekolahnya.

Walaupun sudah mempunyai pekerja pembersihan, tetapi beliau sanggup turun padang bagi memastikan masalah longkang dapat diselesaikan.

Ketika GPS Bestari menghubungi guru berkenaan, beliau sebenarnya 'segan' untuk ditemu bual.

"Benda biasalah puan...malu pula saya kalau ketengahkan pasal hal ini," katanya.

Merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang, Mohamad Ali Alimin berkata, gambar yang dikongsi menerusi laman facebook Al Kauthar itu, menunjukkan yang beliau membersihkan kawasan hujung longkang pra sekolah yang tersumbat.

"Sebelum ini, pekerja pembersihan ada memberitahu kepada saya yang longkang di situ tersumbat.

"Dek kekangan masa, saya tak berkesempatan untuk menjenguk dan pada hari itu (29 Ogos 2019 sekitar jam 8.47 pagi), saya ke kawasan tersebut untuk melihat sendiri masalah longkang," katanya.

Ketika berada di lokasi, Cikgu Mohamad Ali mula mencari punca bagaimana longkang pra sekolah tersumbat.

"Masa meninjau sekeliling, saya dapati ada pokok pisang yang telah ditebang menutupi longkang tersebut.

"Saya bersama beberapa pekerja pembersihan (walaupun mereka halang saya daripada buat kerja)...telah menarik pokok pisang yang tumbang itu. Kemudian, saya dapati ada gumpalan rumput kering yang menutupi saluran longkang menyebabkan air tidak dapat mengalir," ujarnya.

Setelah pembersihan longkang dilakukan, alhamdulillah ia tidak tersumbat lagi.

"Cuma longkang perlu di naik taraf kerana berlaku mendapan kecil menyebabkan kerosakan kecil pada longkang menyebabkan air terpaksa di tolak keluar supaya tidak bertakung," jelasnya.

Cikgu Mohamad Ali memberitahu, apa yang dilakukan itu, tidaklah sukar.

"Sebelum saya memasuki bidang perguruan, saya pernah bekerja di kilang papan, kilang memproses besi dan juga membuat kerja-kerja kampung.

"Setelah saya menjadi guru pula, saya masih membantu mengurus kebun kelapa sawit orang tua saya ketika cuti sekolah dan juga hujung minggu. Sebab itu saya beranggapan kerja membersihkan longkang tidaklah susah jika dibandingkan dengan kerja-kerja yang pernah saya lakukan seperti kerja kilang, buruh dan sebagainya," kata guru berkenaan.

Apabila ditanya mengenai kesudian beliau turun padang membersihkan longkang, ini kata guru besar.

"Sebagai seorang pentadbir menjadi tanggungjawab dan keutamaan untuk kita menyelami denyut nadi warga sekolah, mendengar apa juga permasalahan yang dihadapi sama ada daripada guru, murid, kakitangan, ibu bapa, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan pengusaha kantin.

"Kita perlu sentiasa berbincang dan berkongsi pandangan serta masalah untuk kebaikan sekolah.

"Kita hidup ni untuk saling bantu membantu. Pengurangan pekerja berlaku di setiap sekolah. Di sekolah saya sendiri, daripada sembilan pekerja kepada tiga orang memang terasa kesannya. Mungkin pekerja tak mampu nak buat kerja dalam masa yang singkat jadi apa salahnya kita bantu sekiranya kita mampu. Kalau boleh walau apa pun pangkat dan jawatan kita, biarlah kita bekerja dalam keadaan yang gembira tanpa tekanan dan sentiasa bekerjasama. Situasi ini akan mewujudkan budaya kerja yang sejahtera, harmoni dan saling hormat menghormati," jelasnya.

Akhir sekali, Cikgu Mohamad Ali berkongsi harapannya terhadap SK Bukit Changgang.

"Sekolah ini hampir melebihi usia 70 tahun. Sudah pasti terdapat beberapa bahagian yang rosak dan perlu untuk dibaiki dan  di naik taraf.

"Alhamdulillah selama hampir satu tahun setengah saya di sekolah ini saya dapat kerjasama yang baik daripada guru-guru dan ibu bapa. Kami telah menaiktarafkan surau, kantin, tandas dan berusaha mengatasi masalah tekanan air yang rendah. Sekarang ini kami sedang berusaha untuk mencari dana untuk kerusi meja kantin murid, naik taraf dataran perhimpunan dan garaj. Jika ada pihak yang sudi memberi sumbangan amat di alu-alukan," jelasnya.

Artikel Menarik: 

'Mulia sungguh hatimu...moga ALLAH melipat gandakan pahala buat cikgu'

Cikgu Hailmi kongsi cara bedah jantung lembu di makmal sains sekolah - Teruja nak tengok kaedahnya

Teknik Linosains beri peluang pelajar 'menyanyi' sambil hafal fakta

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal

Kerana teknik mengajar yang Teacher Dilla buat, murid Tahun Satu dan Dua semangat nak datang sekolah