MACAM-macam cara guru-guru akan 'beli jiwa' murid...

Ada guru sibuk deco kelas...

Ada guru yang sibuk buat mural...

Ada guru yang tunggu murid depan pintu pagar awal-awal pagi...

Aku kena banyak belajar dengan mereka semua...terutama dengan Cikgu Muhammad Aisham Azahar.

Banyak dah aku lihat dengan mata aku kesungguhan dia beli jiwa anak murid.

Bagi aku, paling magis bila cikgu tu boleh buat sesuatu yang paling dekat dengan keadaan dan keperluan anak-anak murid tanpa prejudis...menerima murid itu walau macam mana pun keadaan dia...siapa pun dia...bermasalah macam mana pun dia...

Maka ketahuilah, bahawa cikgu tu juga bakal diterima oleh anak murid dengan sepenuh jiwa mereka...

+++

Begitulah perkongsian guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Gedong, Bidor, Perak, Mohamad Ridzuan Mohamad Razali, 29, di laman facebooknya, baru-baru ini, mengenai kisah luar biasa rakannya, Muhammad Aisham Azahar, 29, yang juga seorang guru di sekolah tersebut.

Ketika dihubungi wartawan GPS Bestari, Cikgu Mohamad Ridzuan berkata, dia memuat naik hantaran tersebut bukan untuk menarik perhatian wargamaya.

Sebaliknya guru ini hanya mahu berkongsi tentang sikap Cikgu Muhammad Aisham (Cikgu Aisham) yang mungkin jarang dimiliki pada guru-guru lain.

"Saya benar-benar terharu melihat sikap Cikgu Aisham. Tanpa memikirkan perasaan geli dan kotor, beliau dengan sepenuh hati membersihkan kutu di kepala anak muridnya.

"Sikapnya benar-benar memberi inspirasi kepada saya dan rakan guru yang lain," katanya.

Menurut Cikgu Mohamad Ridzuan, SK Pos Gedong merupakan sebuah sekolah yang menempatkan murid Orang Asli.

"Kebanyakan murid Tahap Satu sekolah itu berdepan dengan masalah kutu yang mengganggu proses pembelajaran mereka dalam kelas.

"Mereka sering mengadu gatal pada kepala, tidak selesa untuk belajar dan sebagainya. Kerana itu, Cikgu Aisham telah mengambil inisiatif untuk bantu murid-murid berkenaan," ujarnya.

Cikgu Aisham cukup disenangi oleh anak muridnya.

Cikgu Mohamad Ridzuan berkata, rakannya yang merupakan guru Bahasa Inggeris itu telah membeli beberapa sikat kutu baru-baru ini dan kemudiannya membawa ke sekolah.

"Bila ada masa luang, Cikgu Aisham memanggil murid berkenaan dan mula membersihkan kutu di kepala anak didiknya.

"Memang ada antara murid yang tidak selesa dan malu-malu, tetapi Cikgu Aisham pandai memujuk mereka. Cara yang digunakan jelas menunjukkan yang Cikgu Aisham cukup menyayangi murid Orang Asli seperti anaknya sendiri," jelas Cikgu Mohamad Ridzuan yang kini mengajar subjek Bahasa Melayu.  

Kata guru ini, keikhlasan membersihkan kutu di kepala murid-murid...bukanlah 'keprihatinan kali pertama' Cikgu Aisham.

"Telah banyak pengorbanan dan kebaikan yang dilakukan oleh Cikgu Aisham.

"Seingat saya, pernah seorang murid yang menangis kerana kakinya bengkak dan bernanah akibat terkena selumbar. Tanpa rasa geli, Cikgu Aisham telah merawat kaki murid itu menggunakan kelengkapan first aid kit.

"Yang kedua, ketika Cikgu Aisham membawa rombongan murid ke sebuah sekolah yang jaraknya agak jauh dari SK Pos Gedung. Usai program di sekolah tersebut, Cikgu Aisham meraikan anak didiknya dengan membawa mereka makan di KFC dan kemudiannya ke kedai RM2. Cikgu Aisham ikhlas buat semua itu dan saya nampak yang beliau cukup sayangkan mereka," katanya.

Artikel Menarik:

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Gerobok Rezeki, guru buat kutipan bulanan bantu pelajar kurang mampu

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih