SELEPAS mengharungi pelbagai dugaan, kereta yang dipertandingkan rosak dan masalah ketika pembentangan, akhirnya  Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 11 (1) berjaya merangkul tiga pingat dalam Pertandingan International Junior Chem E-Car 2019 Kali Keempat yang berlangsung di Dewan Seri Seroja Putrajaya, 10 Oktober lalu.

Guru Cemerlang Sains selaku guru pengiring, Abuzar AZ Ahmad berkata, beliau tidak menyangka pasukan sekolahnya membawa pulang dua pingat emas, selaku Johan Keseluruhan dan kategori Young Engineer Award serta pingat perak untuk kategori Best Design Award.

Pertandingan International Junior Chem E-Car merupakan satu pertandingan membina kereta yang diperbuat daripada bahan kitar semula yang menggunakan kuasa bateri.

 

Chem E-Car bermaksud kereta elektrik kimia (Chemical Electric Car) menggunakan kuasa bateri untuk menggerakkan kereta tersebut.

"Pertandingan International Junior Chem E-Car ini masuk kali keempat penganjuran pada tahun ini melibatkan 60 pasukan yang terdiri daripada  murid tahun empat hingga enam dari sekolah kebangsaan, swasta dan antarabangsa seluruh negara.

"Pertandingan ini dianjurkan SK Putrajaya Presint 18 (1) dengan kerjasama Intitut Jurutera Malaysia (IEM)," katanya.

Pasukan SK Putrajaya Presint 11(1) meraikan kejayaan ketika diumumkan pemenang pingat emas Young Engineer Award.

 

Cikgu Abuzar berkata, beliau sangat gembira kerana muridnya berjaya membuat persembahan dengan baik.

"Alhamdulillah saya sangat gembira dengan kekangan masa yang ada murid-murid tetap menunjukkan persembahan yang baik walaupun tanpa latihan yang secukupnya.

"Kami hanya diberikan penerangan dan taklimat berkenaan pertandingan oleh pihak penganjur dan fokus sepenuhnya kepada itu sahaja," katanya. 

Katanya lagi, pencapaian kali ini adalah kenangan paling manis setelah dua kali penyertaan.

"Pada penyertaan kali pertama kami tidak mendapat tempat, tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk memberi yang terbaik.

"Memandangkan semua peserta hebat... saya tidak menaruh harapan tinggi, niat saya hanya untuk memberi pengalaman kepada murid," katanya.

Pasukan SK Presint 11 (1) bersama trofi dan piala kemenangan.

 

Sepanjang pertandingan, kereta dua pasukan SK Presint 11 (1) mengalami kerosakan, sehingga perlu diperbaiki ketika menunggu giliran untuk persembahan.

"Satu lagi cabaran kami adalah ada antara murid dalam kumpulan kami yang agak gugup ketika memberi penerangan dalam bahasa Inggeris... mujurlah mereka mampu menyampaikan maklumat dengan baik," jelasnya.

Ketua pasukan, Mohammad Al-Juhaidy Jumad, 12, berasa gembira dan tidak menyangka dengan kemenangan itu.

"Saya sangat gembira, walaupun kami tiada latihan kerana kekuatan kerja berkumpulan akhirnya dapat pingat emas. Saya akan sertai lagi pertandingan seperti ini  untuk tingkatkan kreativiti," ujarnya.

 

Seorang lagi peserta, Mohammed Zahirul Iman Zuhdie, 12, turut merasa kemenangan itu sebagai satu kenangan yang tidak akan dilupakan dalam hidupnya.

"Terima kasih kepada cikgu kami yang memilih saya untuk pertandingan ini. Ini betul-betul memberi inspirasi kepada saya," katanya. 

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan International Junior Chem E-Car kali keempat itu yakin pertandingan itu akan membawa satu kejayaan hebat pada masa akan datang.

"Kepada semua peserta pertandingan, saya ucapkan tahniah atas usaha anda. Teruslah secara aktif mencipta dan menginovasi serta berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi," katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden IEM, Ong Chin Loon; Timbalan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Wilayah Putrajaya, Amat Roslan Abdul Rahman; Guru Besar SK Putrajaya Presint 18 (1), Rozi Hassan dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Mohd Nasir Hamzah.

 

INFO

Senarai pemenang Pertandingan International Junior Chem E-Car 2019 Kali Keempat

 

Maszlee ketika gimik penutupan Pertandingan International Junior Chem E-Car 2019 Kali Keempat.

Maszlee ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan International Junior Chem E-Car kali keempat.

Persembahan daripada murid PPKI SK Putrajaya Presint 18(1).

 

Turut hadir, Timbalan Presiden IEM, Ong Chin Loon; Timbalan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Wilayah Putrajaya, Amat Roslan Abdul Rahman; Guru Besar SK Putrajaya Presint 18 (1), Rozi Hassan dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Mohd Nasir Hamzah.

 

REAKSI

"Pertandingan seumpama ini dapat memberi pendedahan awal kepada pada peserta terhadap bidang kejuruteraan dan membudayakan aktiviti STEM dalam kehidupan seharian.

Selain dapat meningkatkan dayacipta dan kreativiti para peserta,  pertandingan ini juga dapat mencungkil bakat jurutera- jurutera muda yang dapat menghasilkan kereta yang mesra alam."

- Fairus Dora Abdul Malek, 38, Guru SK Putrajaya Presint 18(1)

 

 

"Saya rasa sangat seronok sebab dapat kenal ramai kawan-kawan baru dari seluruh Malaysia dan juga dari luar negara. Melalui pertandingan ini juga saya dapat meningkatkan keyakinan diri dan menimba pengalaman baru."

- Wan Nur Irdina Batrisyia Wan Zainal Abidin, 11, SK Serambi, Pahang.

"Penyertaan saya dalam Pertandingan Chem E-Car ini dapat membina keyakinan dan meningkatkan daya kreativiti dan inovasi saya dalam menyelesaikan masalah, dan dapat menambah ilmu berkaitan kejuruteraan melalui kereta yang dibina. Saya juga perlu menggunakan kebijaksanaan, kepintaran, kesabaran dalam melaksanakan tugasan yang diberikan."

- Muhammad Izni Iskandar Muhammad Hafizulnizam, 12, SK Putrajaya Presint 16 (2).

Artikel Menarik:

‘Sedapnya cikgu, tak pernah saya makan ni di kampung,’ - Cikgu sebak, anak murid teruja makan McD

Hebat betul cikgu ni, hasil mekapnya bagaikan jurumekap kesan khas profesional

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

'Mak, lepas balik New Zealand ni ingat nak duduk rumah baru' - Kata terakhir Cikgu Anita buat ibu