PASIR MAS - Seorang guru diacu pistol manakala beg tangannya disamun di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas  berhampiran Kampung Salor awal pagi  semalam.

Kejadian jam 6.40 pagi itu berlaku ketika Noraida Othman, 39, yang memandu berseorangan  dalam perjalanan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kelantan di Lati di sini.

Noraida berkata, ketika memandu, dia merasakan keretanya seolah-oleh ditendang dari arah belakang.

“Selepas itu ada sebuah motosikal mengekori rapat dan masuk ke sebelah kiri lalu mengacukan pistol dan menyuruh saya berhenti,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini semalam.

Menurutnya, terkejut dengan tindakan lelaki yang  lengkap memakai topi keledar itu, dia terus memberhentikan  kereta sebelum lelaki terbabit kemudiannya melarikan beg tangannya berisi wang tunai RM300 dan dokumen peribadi di tempat duduk penumpang bahagian depan.

“Sudah menjadi rutin harian saya untuk membuka  tingkap kereta setiap kali dalam  perjalanan ke sekolah.

“Setiap pagi, saya akan keluar  rumah di Selising, Pasir Puteh seawal jam 6 pagi sambil hantar anak-anak ke sekolah masing-masing,” katanya.

Noraida berkata, ini merupakan kejadian pertama  menimpanya sejak lebih sedekad berulang-alik sejauh 50 kilometer menggunakan laluan itu.

Sementara itu, Guru Besar SK Pendidikan Khas Kelantan,  Rosita Awang berkata, beliau memuji komitmen  Noraida yang disifatkan komited menjalankan tugas.

“Saya doakan semoga ALLAH terus memberikan  kekuatan kepada Noraida untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul  Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan usaha turut dilakukan untuk mengesan suspek.

“Saya juga menafikan gambar seorang lelaki yang  tular dikatakan sebagai suspek  yang mengacu pistol kepada mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.

Artikel lain:

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Guru ini perkenal teknik ‘ulat beluncas hijau’ bantu murid menulis karangan dengan baik