TEMPOH Perintah Kawalan Pengerakan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sehingga 28 April 2020 menunjukan pihak kerajaan amat prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Tempoh yang dilanjutkan itu memberi ruang kepada guru-guru untuk melaksanakan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara jarak jauh.

Sudah pasti dalam dua fasa awal PKP, guru-guru telah didedahkan dengan pelbagai teknologi serta kaedah-kaedah yang boleh dilaksanakan ketika ini.

Tambahan pula, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bekerjasama dengan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyediakan rancangan TV Pendidikan bagi murid-murid yang tidak mempunyai akses internet.

Dalam keghairahan guru menggunakan teknologi dalam melaksanakan PdPc, terdapat perkara yang dibangkitkan iaitu kerja sekolah.

Kerja sekolah merupakan perkara global yang masih dijadikan isu dalam kajian para sarjana.

Sudah pasti terdapat ibu bapa merungut kerana anak-anak mereka banyak menerima kerja rumah ketika tempoh PKP.

Ibu bapa perlu mengetahui terdapat banyak faktor guru memberikan kerja rumah dan salah satunya adalah hendak memastikan murid terus belajar.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang guru, kita juga mempunyai anak yang bersekolah dan jika kita di tempat mereka, apakah tindakan kita?

Sebagai guru, kita dapat memahami situasi yang berlaku dan kita perlu sedar bahawa ibu bapa dan anak-anak kita terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Apakah kerja rumah? Kerja rumah bermaksud kerja atau tugasan yang diberikan kepada pelajar oleh guru di sekolah yang berhubung terus dengan pelajaran dalam bilik darjah untuk disiapkan atau dipanjangkan pada waktu bukan persekolahan (Jiar&Karim, 2008).

Dalam pelaksanaan kerja rumah, terdapat beberapa faktor keberkesanan aktiviti tersebut iaitu faktor exogenous (ciri-ciri pelajar, domain dan tahap gred) dan faktor endogenous (ciri-ciri kerja rumah, faktor awal kelas, faktor komuniti rumah dan maklum balas). (Cooper,2001).

Di samping itu, komunikasi guru akan membantu murid untuk memahami kehendak tugasan serta memberikan autonomi kepada murid untuk melaksanakan tugasan (Epstein & Van Voorhis, 2012).

Oleh yang demikian, perkara-perkara ini perlu dipertimbangkan sebelum memberikan kerja rumah kepada murid.

Pada hari ini, kita dapat lihat guru-guru menyampaikan maklumat kerja rumah melalui aplikasi Whatapps ataupun melalui Google Classroom.

Walau bagaimanpun terdapat beberapa situasi di mana guru tidak mengintegrasikan kerja rumah dengan teknologi.

Di samping itu, terdapat juga guru menggunakan latihan latih tubi melalui google form atau quizziz pada kadar yang banyak mengakibatkan guru tidak dapat memberi maklum balas kepada murid.

Perkara ini menyebabkan murid perlu menggunakan masa yang lama untuk menyiapkan tugasan tanpa mengetahui hala tuju pembelajaran dan pengetahuan.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh sekumpulan pengetua dan penyelidik Australia mendapati purata masa yang diperuntukan untuk menyiapkan kerja rumah adalah 3.8 jam sehari dan perkara ini dilihat sebagai membazir masa (Jiar&Karim, 2008).

Pelaksanaan kerja rumah dalam pendidikan digital, guru perlu memastikan tugas tersebut bersesuaian dengan jenis kerja rumah dan mereka bentuk kerja rumah murid.

Penggunaan forum atas talian seperti Padlet membolehkan murid membuat perbincangan dan guru dapat memberi respon kepada mereka bagi memastikan murid dapat membina pengetahuan (Vonderwell,2003 ).

Disamping itu, kerja rumah yang diberikan perlu menggunakan teknologi yang sesuai pada kadar yang sedikit tetapi berterusan.

Perkara ini memberikan situasi ‘menang-menang’ di mana murid dapat menyelesaikan tugasan manakala guru mempunyai masa untuk menanda jawapan.

Guru juga boleh melaksanakan tugasan yang berkaitan dengan aktiviti seharian murid lalu dikongsikan dalam pelantar atau teknologi yang sesuai.

Oleh yang demikian, guru perlu mengimplemenkan teknologi yang sesuai dalam pelaksanaan PdPc khususnya dalam pemberian kerja sekolah.

Teknologi dintegrasikan supaya diselesaikan menerusi teknologi, bukan menggunakan teknologi untuk menyatakan arahan.

Guru juga perlu mempunyai kemahiran dalam menentukan jenis kerja rumah serta memberikan rangsangan berterusan kepada murid supaya mereka dapat membina pengetahuan terhadap topik pembelajaran.

Dalam era pendidikan moden, kerja rumah juga bukan semata-mata latih tubi, ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk pada kadar minimum tetapi secara berterusan.

Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan.

 

Bibliografi

1. Vonderwell, S, “An Examination of Asynchronous Communication Experienceand Perspective of Student in an Online Course: a Case Study” Internet and Higher Education 6, 77-90, 2003.    

2.Jiar, Y. K., & Karim, A. H. (2008). Hubungan Antara Kerja Rumah Dengan Pencapaian Akademik Dalam Kalangan Pelajar Dari Kelas Premier di Dua Buah Sekolah Menengah.

3.Cooper, H. (2001). The battle over homework: Common ground for administrators, teachers, and parents (2nd ed.). Thousand Oaks, CA: Sage Publications.

4.Epstein, J. L., & Van Voorhis, F. L. (2001). More than minutes: Teachers‘ roles in designing homework. Educational Psychologist, 36(3), 181–193. http://dx.doi.org/10. 1207/S15326985EP3603_

 

Oleh;

Muhammad Sabiq Mohd Noor & Dr Mohd Asnorhisham Adam

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital, Pasir Gudang, Johor.

Tip Menarik:

Nota Sejarah untuk calon SPM baca dan buat ulangkaji di rumah – Perkongsian Cikgu Sharifah Afida

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 202