SELEPAS pendedahan dan kisah mengenai van putih oleh mangsa yang hampir diculik semalam, SOROT hari ini mendapatkan kenyataan pihak polis mengenai kisah sebenar di sebalik van putih.

Sepanjang beberapa tahun belakangan ini, polis telah menafikan sejumlah kes yang dikaitkan dengan van putih ini.

Walaupun tidak menafikan kes penculikan itu benar-benar wujud, namun kebanyakan kes tidak dilakukan oleh sindiket yang sama.

Selain itu, SOROT juga mendapat reaksi ibu bapa yang bimbang mengenai kesahihan kisah ini. Ikuti laporan siri kedua SOROT, mengenai misteri van putih.

YAYASAN Pencegahan Jenayah Malaysia menafikan kewujudan kes penculikan kanak-kanak membabitkan van putih.

Naib pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sehingga kini pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai kes terbabit.

“Isu ini meletus sebaik ia diviralkan di media sosial. Semakan dengan pihak berkuasa, ternyata berita itu palsu dan sengaja disebarkan untuk menakut-nakutkan orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak yayasan sebelum ini ada menerima laporan berkaitan pemerdagangan organ manusia dan kes ini didakwa melibatkan van putih.

“Semakan kami dengan pihak polis juga mengatakan ia tidak benar,” katanya yang turut mengakui ada beberapa kes membabitkan cubaan menculik kanak-kanak yang viral dan turut dikaitkan dengan kenderaan itu.

Lam Thye

Menurut Lam Thye, berita palsu yang sengaja diviralkan dibuat oleh individu tertentu yang menganggap ia sebagai satu permainan untuk menarik perhatian orang ramai.

“Boleh jadi individu yang sebar berita palsu itu, seorang yang ketagih bermain internet.

“Dia anggap sebar berita palsu sebagai mainan sekali gus telah menyalahgunakan kemudahan yang ada,” katanya.

Namun katanya, sama ada viral itu palsu atau tidak, ibu bapa tetap memainkan peranan penting memastikan keselamatan anak-anak terjamin.

“Anak-anak di bawah umur 18 tahun, terutama yang masih di sekolah rendah perlu diberi lebih perhatian. Bersama dengan mereka sehingga selamat berada dalam pagar sekolah. Bukan hendak menjaga tepi kain orang lain, tetapi masyarakat juga perlu mengambil berat perihal kanak-kanak di sekeliling mereka.

“Jika ternampak sesuatu yang mencurigakan, ambil gambar dan segera laporkan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

CCTV, wajarkah ia dipasang?

PENGGUNAAN sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan sekolah atau tempat berisiko berlaku kejadian culik adalah amat wajar.

Menurut Lam Thye, ia dapat membantu memantau dan mengawasi kanak-kanak terutama di sekitar kawasan sekolah.

“Namun, teknologi ini mahal dan tidak semua sekolah mampu menyediakan kemudahan itu.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan, mungkin boleh memikirkan untuk menyediakan kemudahan ini di kawasan berisiko berlaku kejadian culik,” katanya.