SMKA Miri, menjadi sekolah pertama mengamalkan teknologi hijau Bokashi Kompos dengan kolaborasi Cakna Alam Sekitar bersama Majlis Bandaraya Miri. Ia termasuklah mengadakan kempen Kehijauan Alam Sekitar, Hari Tanpa Plastik, dan larangan menggunakan penyedut minuman.

Projek japanese rose di sekolah.

Bokashi adalah perkataan dalam bahasa Jepun yang sama makna dengan bahan organik yang ditapai dengan mengandungi sekumpulan bakteria aktif yang dikenali sebagai EM (Effective microorganism). Manakala Bokashi Kompos pula adalah proses penapaian sisa dapur yang dicampur dengan serbuk Bokashi, dan diperap dalam tong khas selama dua minggu.

Menurut Pengetua SMK Agama Miri, Ahmad Fauzi Yaakob, kempen kebersihan yang bermula sejak september 2018 itu, turut melibatkan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) dan juga warga sekolah.

Cikgu Fazliatun Suhaila menerangkan kepada rombongan dari SMKA (P) Alawiyah Kangar bagaimana Kompos Bokashi diproses.

“Selain untuk memperkenalkan pendekatan konsep 3R kepada warga sekolah, kempen tersebut juga dapat meminimumkan kesan pembuangan sisa pejal terhadap alam sekitar, memberi pendidikan kepada pelajar tentang pentingnya mengurangkan penggunaan asid yang mencemarkan alam sekitar dan juga mengolah sisa buangan sehingga terhasilnya satu produk baharu.

Pelajar menerangkan cara-cara menghasilkan teh Bokashi kepada pengunjung Booth pameran STEM SMKAMi

“Dalam masa sama, saya amat menggalakkan guru-guru dan juga pelajar untuk terus meneroka teknologi hijau, agar ia dapat dibudayakan, selain memupuk rasa cinta mereka kepada sekolah. Serta menjiwai amalan-amalan yang diterapkan seperti budaya kelas tanpa tong sampah, budaya tandas lima bintang dan lain-lain,”ujar beliau kepada GPSBestari.

Beliau berkata, Bokashi Kompos sudah lama diperkenalkan di peringkat sekolah oleh Majlis Bandaraya Miri. Justeru, atas rasa tanggungjawab untuk membudayakan teknologi hijau di sekolah, beliau menyahut cabaran tersebut dengan memperkenalkan ‘Go Green’ kepada pelajar.

Rombongan dari PPD Dungun yang terdiri daripada pegawai PPD dan PK Hem sekolah-sekolah Menengah seluruh Daerah Dungun Terengganu

“Sisa-sisa kulit buah-buahan dan sayur-sayuran dari dewan makan asrama menjadi bahan utama projek kami. Selepas dua minggu, Teh Bokashi sudah boleh dihasilkan. Untuk permulaan ini, kami berjaya mengumpul tiga botol Teh Bokashi. Lebih menakjubkan, teh yang dihasilkan tanpa bahan kimia tersebut, berjaya menghilangkan kotoran degil terutamanya di tandas sekolah,”katanya.

Dalam pada itu, menerusi pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah, SMKA Miri turut menerima lawatan penandaaras daripada SMKA (P) Alawiyah Arau Perlis, PPD Daerah Dungun Terengganu, GPK Hem SM Daerah Dungun, SMK Baru Bintulu Sarawak dan juga Majlis Bandaraya Miri.

Tambah beliau, fokus utama lawatan tersebut adalah untuk melihat sendiri amalan Teknologi Hijau SMKA Miri, amalan kelas tanpa tong sampah dan juga program kebersihan longkang dalam usaha untuk memelihara ikan kap dalam longkang.

“Hasil lawatan ini, Majlis Bandaraya Miri, berminat untuk menyumbangkan 10 tong bokashi, setelah melihat sendiri tekonologi hijau yang diamalkan di sekolah,”jelasnya.