LANGKAWI - Tepat jam 11.20 malam 26 Oktober lalu, satu lagi rekod peribadi dicatatkan guru muda ini apabila berjaya menamatkan tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km dalam acara penuh Ironman Langkawi 2019.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad, Mohd Fahmi Adnan, 31, membuat catatan masa 15 jam 20 minit 18 saat sekaligus melayakkan beliau mendapat medal penamat perlumbaan buat kali keenam sejak menyertai acara tersebut bermula tahun 2014.

Acara Ironman menetapkan syarat para peserta hanya layak menerima medal penamat perlumbaan setelah berjaya menamatkan keseluruhan disiplin perlumbaan yang ditetapkan dalam tempoh kurang 17 jam.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Fahmi atau digelar 'Cikgu Ironman' dalam kalangan rakan pendidik, anak murid dan penduduk pulau ini berkata pada awal penyertaan beliau menyertai acara triatlon antarabangsa itu sebagai memenuhi impian yang ditanam sejak zaman kanak-kanak.

"Sebagai anak Langkawi saya tanam hasrat untuk menyertai kejohanan yang memerlukan kekuatan luar biasa ini sejak berusia 11 tahun.

"Peluang tiba 15 tahun kemudian (2014), ada beberapa rakan yang sudah biasa menyertai Ironman mengajak saya untuk turut serta mengambil bahagian dalam acara itu biarpun saya hanya membuat persediaan dalam tempoh tak sampai dua bulan," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Masalah Penglihatan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur ini.

Bercerita lebih lanjut, Cikgu Ironman ini berkata penyertaan sulungnya lima tahun lalu itu tidak menghampakan apabila membuat catatan masa 16 jam 19 minit, sekaligus melayakkannya mendapat medal penamat perlumbaan.

Pada tahun berikutnya Mohd Fahmi sekali lagi menyertai kejohanan tersebut, di mana pada penyertaan sulung bertujuan memenuhi impian zaman kanak-kanak, berbeza untuk kali kedua iaitu menjadikan medal yang diterima sebagai motivasi buat atlet pendidikan khas Langkawi yang dilatihnya.

"Kejohanan Ironman ini menguji kekuatan mental, fizikal dan beri inspirasi kepada orang ramai, selepas berjaya memenuhi impian yang sudah lama ditanam penyertaan beralih pula untuk memberi motivasi serta inspirasi kepada atlet olahraga pendidikan khas Langkawi yang sedang saya latih.

"Melihat kejayaan guru menyertai kejohanan yang memerlukan kekuatan luar biasa pastinya memberi semangat seterusnya diterjemah menerusi kemampuan mengikut kesesuaian mereka," kata penerima Anugerah Ikon Guru Sukan Langkawi 2019 ini.

Enam kali menyertai acara itu dengan berdepan pelbagai situasi mencemaskan seperti disengat obor-obor, Mohd Fahmi yang memiliki catatan peribadi terbaik 13 jam 41 minit pada edisi 2016 mengakui kadang kala berasa penat namun menguatkan semangat demi anak-anak didiknya.

"Memang memenatkan tetapi yang penting ialah disiplin, kekuatan mental serta fizikal untuk menamatkan perlumbaan. Selain itu keluarga, rakan dan anak didik juga menjadi sumber kekuatan, pernah apabila saya sampai di garisan penamat atlet bimbingan saya menangis kegembiraan dan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh dalam acara sukan yang mereka sertai,” kata anggota Pasukan Ironman Langkawi ini. - Bernama

Artikel Menarik:

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

“Semoga ustaz sihat dan masuk syurga”- Ustaz ini sanggup menari demi murid Pendidikan Khas

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya