KUALA KUBU BHARU - Selepas bapa meninggal dunia pada 1 April lalu tugas sebagai ketua keluarga digalas anak sulung bagi menyara ibu dan empat adiknya termasuk tiga yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pada masa sama, Athira Ashari, 22, bimbang terhadap masa depan keluarganya terutama berkaitan kewangan.

Sebenarnya pengorbanan Athira bermula sejak berusia 18 tahun apabila terpaksa melupakan zaman persekolahan di tingkatan enam kerana bapanya terpaksa cuti kerja tanpa gaji selama setahun atas faktor peribadi.

Athira berkata, arwah bapa, Ashari Ahmad, 48, bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang pengeluar barang alat ganti kenderaan dan meninggal dunia selepas diserang strok akibat darah tinggi.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti ketika semester pertama tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu dan bekerja sebagai juru jual di sebuah kedai kasut di Batang Kali.

“Ayah cuti tanpa gaji maka saya kena cari duit untuk sara keluarga dan bila ayah kembali bekerja, saya masuk kolej di Kajang selama dua tahun setengah dalam bidang kulinari.

“Selepas habis kolej, macam-macam kerja saya buat tapi masa itu keluarga masih bergantung pada pendapatan ayah.

“Kali terakhir sebelum ayah meninggal, saya bekerja di kilang pembekal santan di Gombak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasa Utama semalam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ampang Pecah, Suellen Muhamad Sharif (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada keluarga Athira.

Ditawarkan kerja kerani

Athira berkata, majikan arwah bapanya turut membantu ketika pengurusan jenazah dan dia ditawarkan untuk bekerja sebagai kerani akaun di kilang berkenaan dengan gaji RM1,200 sebulan.

Menurutnya, keperluan ibu, Normizana Abdul Malik, 44, dan lima adik menjadi keutamaan berbanding dirinya sendiri.

“Tempat kerja baharu ini tak jauh dari rumah dalam 10 minit sahaja menunggang motosikal kerana saya belum ada lesen memandu untuk bawa kereta arwah ayah.

“Tak apalah jika tak dapat belanja apa-apa untuk diri sendiri kerana yang lebih penting sekarang adalah ibu dan persekolahan adik-adik tidak terjejas.

“Tapi baru sebulan lebih ayah meninggal dunia saya takut fikir masa akan datang seandainya duit tidak cukup atau apa-apa terjadi pada saya,” katanya.

Athira berkata, pelbagai kenangan mengusik jiwa apabila Ramadan dan Aidilfitri tahun ini diraikan tanpa bapa tersayang.

Allahyarham Ashari (tengah) meninggal dunia pada 1 April lalu.

Artikel menarik:

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad... guru ini tetap tanda kertas

Pernah dirotan dan ditampar guru... kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' di sekolah

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Wajib baca kepada yang ada adik beradik! Jangan 'share' selagi tak habis baca