Lebih 20 tahun lalu Mohamad Sahaimi Zainal hanyalah seorang pemuda biasa yang rutinnya hanya berkebun, bertukang dan mengambil upah membuat kerja kampung.

Hidup dalam kemiskinan dan pernah gagal ketika SPM, lelaki kelahiran Pekan Pahang itu, tidak pernah terfikir akan menjadi seorang guru.

Apatah lagi, kehidupan lalunya penuh dengan kesusahan, keperitan dan air mata.

Namun berkat doa dan harapan ibu ayah juga guru, dia yang pernah digelar ‘budak tiada masa depan’ itu kini meniti kejayaan sebagai pendidik.

“Menjadi anak kampung bernama Mohamad Sahaimi bukanlah indah. Terlalu banyak air mata yang mengalir sebelum saya kecapi apa yang ada sekarang ini.

“Dihina orang kerana pernah gagal SPM dan terpaksa mengulangnya semula, antara pengalaman pahit yang saya tidak boleh lupa sampai bila-bila,”katanya.

Pun begitu, kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya ia adalah titik permulaan untuk sebuah kejayaan.

Untuk mengubah nasibnya itu, Mohamad Sahaimi menyahut harapan keluarga yang mahu dia menjadi seorang pendidik.

Tanggal 17 Januari 2000, beliau tamat pengajian dan di tempatkan di beberapa buah sekolah sekitar Pahang sebelum berkhidmat di sekolah orang asli, SK Simpai, Pekan Pahang pada 2014 sehingga kini.

Gilap potensi

Menurut Mohamad Sahaimi, untuk membentuk pemikiran masyarakat orang asli tentang kepentingan belajar bukanlah mudah.

Pelbagai usaha perlu dilakukan, antaranya menyediakan kemudahan infrastruktur yang sempurna, sehingga mampu membuka minda murid untuk berdaya saing.

“Sepanjang enam tahun mengajar di sekolah ini, saya dapat melihat sendiri perubahan lanskap pendidikan, di samping pencapaian yang mereka capai dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

“Malah mereka juga mempunyai potensi dan kebolehan dalam sukan pelayaran dan sukan terjun, sehingga berjaya meraih pingat gangsa dan emas di peringkat negeri, kebangsaan (MSSM), Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang (MSSP) dan seterusnya mewakili Pahang dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2018,”katanya.

Jelas pemilik Anugerah Guru Adiwira Pahang 2019 dan Anugerah Ikon Kokurikulum Pahang 2020 itu lagi, selain sukan pelayaran, beliau juga turut mencungkil bakat mereka dalam acara terjun.

“Saya melihat potensi mereka mendayung perahu, lalu saya gilap bakat mereka dengan menggunakan bot buruk dan layar kanvas. Keperluan lain saya buat sendiri, dan kami berlatih di kolam di dalam hutan.

“Apabila mereka sudah betul-betul mahir, barulah saya bawa mereka ke laut untuk meneruskan latihan.

“Manakala dalam sukan terjun pula, potensi mereka saya cungkil setelah melihat mereka terjun parit di dalam ladang,”ceritanya yang sudah 20 tahun bergelar pendidik.

Amalan terbaik dan usaha gigih beliau ternyata memberikan impak yang positif terhadap purata peratusan kehadiran murid ke sekolah, daripada 60% telah meningkat hingga 95%, ia secara tidak membantu ke arah peningkatan akademik di sekolah.

Agih bantuan dan latihan

Keikhlasan beliau berbakti kepada murid-murid orang asli, sering menjadi perhatian. Malah sikap penyayang yang ada dalam dirinya juga turut menjadi ‘buah mulut’ dalam kalangan murid dan penduduk kampung Simpai.

Rasa sedih melihat orang lain hidup susah, telah mendorong beliau mengumpul dana bagi membeli barangan keperluan untuk disumbangkan kepada penduduk kampung khususnya murid-murid asnaf SK Simpai.

Inisiatif tersebut dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, ia bertujuan meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan.

"Sebagai guru saya akan berusaha membantu kerana saya tahu situasi mereka. Saya juga dibantu isteri dan anak-anak untuk membungkus barang-barang.

Katanya, perkara utama yang mendorong beliau berbuat demikian adalah, rasa sayang dan menganggap mereka sebagai keluarga sendiri.

Selain memberi bantuan makanan, beliau juga turut menghantar kerja sekolah kepada murid yang tinggal jauh di pedalaman.

“Masalah talian internet dan kedudukan tempat tinggal murid yang jauh di pedalaman juga, menyukarkan saya untuk membuat kelas dalam talian untuk mereka.

“Murid yang hampir dengan sekolah bolehlah mengambil tugasan bahan bercetak di pondok pengawal sekolah,tapi yang duduk jauh, kenalah saya hantar dan pantau kerja sekolah yang diberikan,”katanya.

Menurutnya, dia menggunakan motosikal kerana laluan untuk menghantar barang sempit, tanah merah dan dikelilingi hutan belukar.

Manakala kampung yang perlu melalui sungai, beliau akan menggunakan bot untuk agihkan bantuan dan kerja sekolah.

Pernah menerima anugerah Jurulatih Cemerlang Pusat Kokurikulum Kebangsaan 2018, 2019, Mohamad Sahaimi juga  terlibat dengan Kejurulatihan Pusat Ko Kurikulum.

“Latihan kejurulatihan ni bertujuan untuk memberikan kemahiran kepada guru berkaitan prosedur keselamatan, kaedah pengendalian aktiviti, peranan guru dalam pendidikan, jati diri guru dan murid, tindakan dan banyak lagi.

“Kebiasaannya latihan dijalankan di pusat ko kurikulum, tetapi ia bergantung kepada kemahiran yang akan diberikan, sama ada di sungai, di laut, di hutan, gunung dan sebagainya.

Apa kata mereka…

Cikgu Emmet

Kalau 10 tahun akan datang, muncul juara sukan akuatik seperti renang kuak lentang, kuak dada dan acara terjun bebas dalam kalangan orang asli yang mengharumkan nama Malaysia...waktu itu manusia yang anda harus tahu kerana menjadi tulang belakang kejayaan mereka ialah seorang guru kampung bernama Cikgu Mie Ubai.

Cikgu Mie mengajar di SK Simpai Pekan Pahang.

Beliau berusaha mendidik dan mengajar kemahiran dan keselamatan di air agar pelajarnya tahu akan situasi untuk menyelamatkan diri dan membantu orang lain jika berlaku kecemasan serta bakat anakank ni yang boleh dicungkil dalam sukan akuatik .

"Budak budak ni suka terjun parit dan mandi sungai maka bakat seperti itu harus di cungkil dan gilap supaya memberi manafaat pada mereka sebagai atlit dan kalau tak boleh jadi atlit pun mungkin mereka boleh jadi penyelamat di air satu hari nanti..

Jelas Cikgu Mie.

Dalam sukan pelayaran sekolahnya sudah melahirkan seorang pelajar ke peringkat MSSM dan peringkat negeri 8 orang. Dalam sukan akuatik SK Simpai berjaya melahirkan 2 org peringkat MSSM dan 1 orang mewakili pahang utk SUKMA dalam acara terjun

Selain itu Cikgu Mie turut terlibat dalam aktiviti kayak. Menurut beliau berkayak sentiasa dijalankan utk anak-anak Simpai bagi menghargai rekreasi alam..jelas Cikgu Mie yang dikenali sebagai Cikgu Pendayung Buruk

Impian beliau ialah membina kolam renang bagi memudahkan anak anak orang asli suku Jakun belajar berenang secara formal,

Sebenarnya kali pertama saya melatih anak-anak SK Simpai ni berenang dan terjun di dalam parit sekitar kampung ialah pada 2016. Ternyata bakat mereka perlu digilap namun kos yang besar perlu dikeluarkan untuk menjalani latihan di kolam sebenar serta jarak yang jauh dari sekolah SK Simpai yang terletak jauh masuk ke dalam ladang serta melalui jalan tanah merah..maka atas inisiatif sendiri beliau berusaha membina kolam renang agar anak anak jakun dapat belajar berenang secara formal.

Menurut beliau lagi kolam ni bukan hanya untuk pelajar SK Simpai semata-mata tapi juga untuk pembangunan sukan akuatik sekolah rendah di sekitarnya terutama membuka peluang kepada anak anak orang asli membina jati diri sebagai atlit kebanggaan negeri Pahang. Cikgu Mie tidak mendapat sebarang bantuan material dari mana-mana pihak tetapi pihak berwajib sentiasa memberikan sokongan moral atas usaha beliau.

Cikgu Emmet berharap agar usaha Cikgu Mie Ubai ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan untuk membantu merealisasikan impian melahirkan atlit akuatik dalam kalangan anak anak orang asli.

Terus Mendayung Sahabat ku Cikgu Mie Ubai.. Duta Guru Nadi Negara.. Anda Nadi bangsa.

Cikgu Firdauz Abdullah

Si Pendayung Buruk ini adalah guru aku, walaupun bukan guru secara lansung yang mendidik aku dalam bidang akademik, tetapi beliau tetap guru aku.

Kali pertama berkenalan dengan beliau adalah pada tahun 1999, ketika aku di tingkatan empat melalui Kem Remaja Maybank - KPM.

Bermula dari detik itu, aku banyak kali terlibat sebagai fasilitator bersama-sama program anjuran Kem Kokurikulum JPN Pahang, dan beliaulah antara jurulatih yang banyak mengajar aku selok belok dalam hal pendidikan luar.

Jasa beliau tak terbalas dek aku sampai bila-bila!

Siapa cakap aktiviti kokurikulum tidak penting? Salah sama sekali tanggapan itu! Aku berani cakap, insan yang holistik terdidik dari pengalaman yang dibina dan ilmu yang ditinta.

Tak mungkin aku boleh berada ditahap hari ini jika bukan kerana disiplin, kepimpinan dan living skill yang secara tidak lansung diajar semasa aktiviti kokurikulum dahulu.

Buat Cikgu Mie Ubai dan rakan-rakan guru Team Dr Jungle, Pusat Kokurikulum Negeri Pahang, terima kasi buat anda semua.

Cikgu Fadli Salleh

Malam ini aku ingin bercerita tentang Cikgu Mie Ubai. Abang Mie ni idola aku dalam pendidikan.

Makhluk ini, semangat beliau setinggi alam. Jujur aku kata, aku belum pernah temui seorang guru yang sepertinya.

Yang punya jiwa sebenar-benar jiwa. Yang tulus dalam bicara. Yang hadapi dugaan besar berbelas tahun dalam perkhidmatan sebelum diterima ramai dan diakui semua jasa dan pengorbanan.

Semalam, kali pertama kami bersua muka. Setelah bertahun-tahun hanya menjadi rakan muka buku, semalam detik bersejarah dapat aku temui insan hebat ini.

Terus aku peluk erat-erat idola aku ini. Inilah dia guru sejati pada aku. Kagum sungguh aku dengan semangat beliau. Hormat sungguh aku dengan keperibadian dan cara beliau.

Siapa Cikgu Mie Ubai ni? Kenapa aku sangat hormati beliau? Kenapa beliau menjadi idola aku?

Cikgu Mie ini sudah berkhidmat lebih 20 tahun. Beliau bukan wira dalam Pendidikan Abad ke 21. Beliau bukan guru cemerlang dari sekolah amanah atau sekolah berprestij tinggi, beliau bukan guru yang terpilih antara guru terbaik dunia.

Beliau cuma si Pendayung Buruk.

Mengajar di sekolah orang asli, membangunkan sekolah dengan usaha sendiri, duit poket sendiri, dengan kudrat sendiri.

Hubungan beliau dengan tok batin, orang kampung dan anak-anak murid sangat-sangat rapat. Sehingga orang kampung datang hantar ayam, hantar daging kijang daging rusa, datang nak basuh pakaian beliau.

Setinggi-tinggi hormat orang kampung terhadap beliau kerana beliau guru yang mempunyai jiwa. Masuk ke kampung, mendekati setiap keluarga, mencurah ilmu dengan penuh ikhlas dan kasih sayang sejati.

Kasih beliau dalam bidang pendidikan tidak boleh dipertikai lagi. Sehingga perkahwinan beliau pun dibuat di padang sekolah. Tok batin sponsor lembu buat jamuan makan, persembahan demi persembahan dari pelbagai kaum orang asli sempena hari bahagia beliau.

Bayangkan, Cikgu Mie berjaya menarik hati murid-murid asli untuk ke sekolah setiap hari. Anak-anak murid beliau merungut kalau cuti. Betapa gembira anak-anak didiknya jika dapat ke sekolah dan diajar oleh Cikgu Mie.

Kehadiran sekolah orang asli biasanya tercorot dalam ratusan buah sekolah dalam negeri. Itu juga berlaku pada sekolah beliau pada awalnya.

Namun kehandalan beliau membeli jiwa ibubapa dan murid, kehadiran murid sekolah beliau selalu dalam top 3 dalam negeri. Hebat bukan?

Tidak cukup sekadar itu, prasekolah yang tiada taman mainan beliau usahakan dengan semua kudrat yang ada. Buat tiang gol itu biasa, bina pentas dan sebagainya. Semua dengan usaha sendiri, dengan dana yang dicari dan kumpul sedikit demi sedikit.

Kemahiran beliau dalam bertukang tiada siapa boleh remehkan. Potong kayu balak sendirian pun beliau selalu saja buat. Ilmu tali, ilmu hutan, ilmu air, lesen penyelamat, semua beliau ada.

Beliau tahu murid asli ada bakat yang sangat banyak. Namun tersekat oleh fasiliti yang kurang.

Namun beliau tidak putus asa. Di latih murid-muridnya dalam parit dan sungai sahaja sehingga wakil MSSM, wakil SUKMA dan wakil negeri.

Iya kawan-kawan. Saat murid lain mendapat fasiliti terbaik berlatih di kolam renang dengan jurulatih yang hebat belaka, beliau melatih murid beliau dalam parit dan sungai di pedalaman sahaja.

Tiada papan anjal, tiada kelengkapan lengkap. Yang ada cuma semangat yang membara menyala.

Makhluk ini, 14 tahun awal perkhidmatannya dipandang serong. Dianggap guru paling bermasalah dalam daerah hanya kerana berkata jujur pada mereka yang lebih berkuasa.

14 tahun dijaja bermacam cerita sehingga kebenaran akhirnya timbul jua. 14 tahun keperitan itu jika ditulis satu persatu, nescaya ramai yang akan mengalirkan air mata.

Aku yang mendengar semalam ini pun hampir tumpah air mata jantan. Sebenarnya di dalam hati sudah lama air mata membanjiri.

Dan kini, beliau dalam usaha membuat kolam renang sendiri di sekolah tercinta demi anak-anak didik berlatih seterusnya mengharumkan nama negeri bahkan negara.

Tersebar luas kegigihan si Pendayung Buruk ini cuba membina kolam untuk sekolah tanpa memohon dana dari mana-mana pihak. Kegigihan yang tiada dapat ditandingi lagi.

Telah pun berjalan sebahagian dari projek, namun sayangnya kini ada arahan minta projek itu dihentikan.

Jauh dilubuk hati Abang Mie, beliau ingin sangat melihat impian beliau terlaksana.

Semoga Allah memudahkan segala urusan guru handal ini demi kecintaan beliau pada bidang pendidikan.

Dan semalam, sangat banyak kisah dan ilmu beliau kongsi pada kami. Bertuah sungguh rasa diri dapat kenali guru sehebat ini.

Ramai guru pandai mengajar baca kira. Namun tidak ramai yang mampu menghidupkan jiwa. Inilah orangnya yang mempunyai cara dan membuktikannya.

Terus maju jaya Cikgu Mie. Meski pun dunia tidak akui, bagi saya Bang Mie salah seorang guru terhebat di dunia.

#MFS

The real ADIWIRA: Terima kasih Cikgu Mie Ubai! – Cikgu Norhailmi

Hari nih rasa puas hati sungguh dapat dengar perkongsian dari hati ke hati dengan seorang WIRA TAK DIDENDANG nih, Cikgu Mie Ubai.

Serius kagum. Saya sendiri pon tak mampu buat apa yang beliau dah usahakan 17 tahun dengan masyarakat asli di Runchang dan Simpai.

Mendengar sendiri falsafah tentang pendidikan dan bagaimana beliau menyerap dalam masyarakat Orang Asli, membuat saya terpikir, apa pulak sumbangan kita?

Dan yang paling saya suka, beliau tak pernah raih cerita murahan dengan kesusahan anak murid aslinya, sebaliknya dengan kejayaan dan kemenjadian mereka. Itu yang kita nak dengar!

Kalau tak masakan lah anak didik beliau dapat harumkan nama sampai ke daerah dan negeri. Yang wakil #Pahang untuk SUKMA pon ada. Sukan terjun plak tu. Dan yup, semuanya datang dari #Runchang dan #Simpai, tempat yang orang ramai katakan tak ada potensi tu.

Itu belum lagi cerita usaha beliau yang sedang bina Pusat Akuatik bersaiz Olimpik di Simpai, dengan kos dan kudrat sendiri! Giler weyh..

Saya pulak yang jadi konfius, kenapa di Simpai? Tempat terpencil macam tu? Jawapan dia sebab beliau yakin dengan bakat dan potensi yang pada murid jika digilap dengan betul!

Percaya dan buat dengan iltizam! Itu yang saya salute tu.

Malangnya di Malaysia, kisah pendidikan macam nih bukan nak viral, dan bukan orang nak dengar sangat. Kebanyakan masanya yang viral tu cerita sendu raih perhatian sebab sendiri yang mau nak viral. Impak kat murid, out!

Profil diri

Nama: Mohamad Sahaimi Bin Zainal

Asal : Kg Ubai, Pekan Pahang

Umur : 43 tahun

Nama Sekolah : SK Simpai, Pekan Pahang

Pendidikan: Sarjana Muda Pendidikan Kanak-kanak

Anugerah:

•    Jurulatih Cemerlang Pusat Kokurikulum Kebangsaan 2018,2019

•    Anugerah cemerlang Sektor  Pembangunan Kemanusiaan JPN Pahang 2018

•    Anugerah guru Adiwira Pahang 2019

•    Anugerah Ikon Kokurikulum Pahang 2020