BACHOK - Kegigihan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di sini menghasilkan tanaman cendawan jeli hitam atau telinga kera mampu menjana pendapatan sekali gus membolehkan komuniti setempat terlibat sama dalam aktiviti sekolah.

Ketua Projek Tanaman Cendawan Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Gunong, Haslina Ya berkata projek pertama tanaman cendawan jeli hitam itu bermula pada pertengahan 2018 apabila pihaknya mula menanam 5,000 bongkah cendawan tiram kelabu yang diletakkan di dalam bangsal kawasan sekolah seluas 74 meter persegi.

"Dalam tempoh lebih setahun mengusahakan projek tanaman itu, pihak sekolah mampu menjana keuntungan bersih sehingga RM15,000 yang sekurang-kurangnya memudahkan pengurusan sekolah menjalankan aktiviti.

"Ini adalah projek ketiga selepas cendawan tiram kelabu dan sisir, kami menggunakan bangsal yang sama cuma menukarkan kepada bongkah jeli hitam pada tahun ini.

"Sebanyak 300 bongkah cendawan jeli hitam ditanam dan hasilnya boleh diambil selepas tempoh 60 hari dan hari ini sebanyak 15 kilogram dikutip, malah kami sudah mendapat permintaan daripada pemborong di Pasar Jelawat yang dijual dengan harga RM30 sekilogram," katanya semasa ditemui pemberita di SK Bakong yang turut dihadiri Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Marizam Mamat, Kaunselor Mazila Muhammad dan Naib Yang Dipertua PIBG Syamsani Pak Adib.

Haslina (empat, kanan) bersama guru dan Ahli Jawatankuasa PIBG menunjukkan cendawan jeli hitam atau telinga kera yang sudah matang di SK Bakong semalam. - Foto Bernama

Haslina (kanan) bersama guru Mazila Muhammad (tengah) dan Siti Zamani Abdul Rasid mengutip cendawan hitam atau telinga kera yang sudah matang untuk dijual kepada pemborong di SK Bakong semalam. - Foto Bernama

Haslina berkata cendawan jeli hitam itu jarang ditanam memandangkan sebelum ini hanya mendapat permintaan daripada kaum Cina, tetapi kini masyarakat sudah menyedari khasiat tanaman itu termasuklah dapat mencegah penyakit buasir, mengurangkan berat badan, mengurangkan kolesterol dan menegangkan kulit.

"Di pasar raya ada juga menjual cendawan jeli hitam, namun ianya diimport dari negara Thailand dan projek tanaman cendawan yang diusahakan ini adalah satu-satunya produk tempatan.

"Keistimewaan cendawan ini ialah tahan lama sehingga dua tahun, ianya perlu dikeringkan dan disimpan di dalam peti, apabila mahu menggunakannya, perlulah direndam di dalam air terlebih dahulu," katanya.

Katanya, bagi memastikan cendawan jeli hitam berada dalam keadaan baik dan tidak rosak, ibu bapa dan guru di sekolah sama-sama menjaga tanaman berkenaan dengan memantau suhu serta kelembapan di dalam bangsal selain menyiramnya tiga atau empat kali sehari.

"Projek yang diusahakan ini juga, menarik minat guru dari sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat 2 untuk menanam cendawan yang akan diusahakan oleh pelajar pendidikan khas di sekolah berkenaan," katanya.

Katanya, dalam jangka masa terdekat, pihaknya akan membekalkan 500 bongkah cendawan kepada sekolah berkenaan dan meluaskan perusahaan itu lagi memenuhi permintaan pengguna.  - Bernama

Artikel Menarik:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi