MENTAKAB - Sebanyak RM40,000 bakal diperoleh melalui penganjuran Konsert Wind Orkestra Edisi ke-6 untuk membantu pasukan Wind Orkestra Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hwa Lian.

Konsert tersebut akan berlangsung di dewan sekolah itu pada Sabtu ini bermula jam 7 malam.

Guru Penolong Kanan (GPK) sekolah itu, Ng Hon Yen berkata, penganjuran konsert itu untuk mengutip dana bagi membeli peralatan kumpulan itu sebagai persediaan menghadapi pertandingan peringkat kebangsaan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada tahun depan.

Menurutnya ia juga sebagai persediaan menjelang pertandingan sama peringkat antarabangsa di Singapura pada 2020.

"Konsert pada Sabtu ini akan dijayakan oleh pemuzik junior dan senior dengan mempersembahkan pelbagai rangkaian muzik serta lagu.

"Kita menyasarkan dana sebanyak RM40,000 dengan jumlah kehadiran 1,000 penonton," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, tiket konsert itu dijual dengan harga RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk pelajar dan akan dirasmikan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah, Datuk Hiang A Li.

Ujarnya, selain mengutip dana penganjuran konsert itu salah satu usaha membudayakan Wind Orkestra di sekolah di negeri itu.

"Beberapa sekolah akan hadir di konsert itu nanti antaranya SM Sains Sultan Ahmad Shah, SMK Air Putih, Sekolah Perempuan Methodist Kuantan, SMJK Tanah Putih dan SMK Inderapura, Jerantut," jelasnya.

Menyelusuri pencapaian sekolah itu dalam Wind Orkestra, antaranya SMJK Hwa Lian merangkul Anugerah Emas peringkat kebangsaan sejak 2013 dan terbaru,tahun ini mengekalkan gelaran sama.

Selain itu, kumpulan terbabit juga mengharumkan nama Pahang dan Malaysia di World Wind Band, 2018 di Taiwan dengan kejayaan meraih anugerah Perak.