PADANG BESAR - Koperasi sekolah boleh memainkan peranan ke arah membimbing pelajar sekolah menyiapkan diri menjadi usahawan berjaya setelah tamat persekolahan, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Beliau berkata melalui penglibatan pelajar sebagai pemimpin dan ahli koperasi secara tidak langsung melatih mereka minat berniaga sekaligus tidak semata-mata mengharapkan untuk bekerja makan gaji sahaja.

"Jika para ahli koperasi tersebut diasuh dengan aktiviti perniagaan di sekolah sudah tentu minat berkenaan dapat terus dibawa selepas tamat persekolahan untuk dijadikan perniagaan sebagai sumber rezeki kelak,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi ke-8 sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sulaiman, Beseri dekat sini.

Katanya terdapat lebih 1.6 juta pelajar menjadi ahli kepada 2,431 koperasi sekolah dalam berbagai jenis bidang perniagaan bersesuaian dengan sekolah masing-masing.

Abdul Fattah berkata Angkasa sedia menghulurkan khidmat untuk membimbing barisan kepimpinan dan ahli koperasi di sekolah-sekolah agar perniagaan koperasi mereka lebih berjaya.

Pada majlis tersebut Abdul Fattah menyampaikan sijil penghargaan kepada 314 pelajar tingkatan lima, enam atas dan kelas pendidikan khas yang akan menamatkan pengajian mereka di sekolah berkenaan tahun ini.

Turut hadir pengetua sekolah terbabit Ayub Ahmad dan Pengerusi Angkasa Perlis, Sahimi Shaari. - Bernama

Artikel Menarik:

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik

'Wah kemasnya almari kamu!' - Guru ini latih murid seawal tahun dua berdikari

Enam teknik mudah untuk pelajar skor A Matematik - Calon SPM pun boleh guna cara ini