Putrajaya - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan dua pelajar yang mendapat keputusan berbeza bagi mata pelajaran Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah selepas semakan semula keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat dapat menyambung pengajian di universiti seperti yang dimohon.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya telah membuat siasatan terperinci mengenai hal itu dan mendapati kesilapan itu disebabkan masalah teknikal.

"Hanya dua pelajar yang terlibat dengan kesilapan tersebut dan siasatan yang dibuat mendapati ia satu kesilapan teknikal," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

GPS Bestari.com pada 1 Mei lalu melaporkan dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 terkejut besar setelah mendapat keputusan semakan semula SPM pada jam 3 petang hari berkenaan. 

Nur Ilham Sofiyah Mohd Fauzilan, 18, dan Nur Syahirah Natasha Mohd Nor, 18, yang sebelum ini gagal dalam subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah disahkan masing-masing mendapat A- dan A dalam subjek berkenaan.

Laporan GPS Bestari.com 1 Mei lalu.

Dalam keputusan yang diumumkan 14 Mac lalu, Nur Ilham Sofiyah mendapat 7A 1B+ 1C+ dan Gagal subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah manakala Nur Syahirah Natasha, 8A 1B dan juga Gagal subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Bapa Nur Ilham Sofiyah, Mohd Fauzilan Mat Nor, 57, berkata, hatinya terdetik untuk buat semakan semula setelah didorong oleh  Ustazah Siti Zubaidah Ahmad yang mengajar subjek tersebut.

"Ustazah Siti Zubaidah hairan bagaimana Nur Ilham Sofiyah gagal dalam SPM 2018 sedangkan dia selalu dapat B+ bagi subjek berkenaan.

"Atas dorongan beliaulah, saya dan Nur Ilham Sofiyah buat semakan semula di Lembaga Peperiksaan seminggu selepas keputusan SPM diumumkan.

"Alhamdulillah, keputusan semakan yang diperoleh hari ini menunjukkan yang anak saya mendapat A- bagi Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.com.

Artikel berkaitan:

'Saya harap pihak USIM timbang kemasukan anak... keputusan SPM dia dah berubah." - Bapa

Bapa mohon timbang kemasukan anak setelah keputusan SPM berubah, ini jawapan USIM

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semua dibuat