SHAH ALAM - Kementerian akan terus memastikan murid berkeperluan khusus, seperti murid Orang Asli dan Penan, pendidikan khas, murid peribumi dan kumpulan minoriti yang lain seperti murid pintar cerdas dan murid di sekolah kurang murid mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan dan sokongan pendidikan yang relevan dengan keperluan mereka.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata pada masa sekarang, bantuan pendidikan yang telah diberikan kepada murid Orang Asli merangkumi 19 jenis bantuan.

"Bagi kategori Bantuan Persekolah Umum iaitu Bantuan Geran Perkapita, Bantuan Geran Per Kapita Prasekolah, Bantuan Makanan Prasekolah, Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan (Bantuan Kokurikulum, Bantuan Kokurikulum Asrama, Bantuan Kokurikulum Prasekolah, Yuran Khas Sekolah, Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan) dan Bantuan Sukan Sekolah.

"Di bawah bantuan khusus pula, KPM menyediakan Biasiswa Kecil Persekutuan, Bantuan Sukan, Elaun Murid Berkeperluan Khas, Elaun Prauniversiti, Bantuan Makanan Asrama, Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid, Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi, Projek Khas Murid Sekolah Berasrama, Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform, Bantuan Jaket Keselamatan dan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP)," jelas beliau.

Beliau menjawab soalan berkaitan bantuan dan sokongan pendidikan kepada murid Orang Asli yang oleh Ramli Mohd Nor (Adun Cameron Highlands, Pahang) dan Datuk Jalaluddin Alias (Adun Jelebu, Negeri Sembilan).

Kata Maszlee lagi, KPM turut memberi Bantuan Awal Persekolahan secara one-off kepada murid Orang Asli.

"KPM turut berhubung secara konsisten dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan juga Datuk Isa Ab Hamid (Senator) yang mewakili suara Orang Asli bagi memastikan kebajikan pendidikan anak-anak Orang Asli terus terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel lain:

Biasiswa diberikan pelajar yang layak tanpa kira kaum, agama dan geografi

Inclusivity dalam pendidikan

'Kebajikan anak-anak kurang upaya amat dekat di hati saya' - Maszlee

Penyelenggaraan kuarters milik KPM di seluruh negara

Penyambungan bekalan elektrik ke grid utama sekolah-sekolah di Sarawak