KEMAMAN - Nasib malang Muhammmad Hafizam Mohd Tajuddin, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Kerteh di sini, yang menghidap penyakit jantung berlubang mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Program Ziarah Cakna.

Keluarga Muhammmad Hafizam menerima kunjungan Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) kementerian itu, Shafruddin Ali Hussin bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani serta kakitangan lain yang meluangkan masa hampir 30 minit bertanyakan perkembangan terkini murid itu.

Shafruddin berkata Muhammad Hafizam telah menjalani dua pembedahan pada tahun 2010, dan sedang menjalani rawatan susulan tiga kali dalam tempoh setahun, di mana rawatan dalam masa terdekat nanti ialah di Institut Jantung Negara (IJN) Jun depan.

"Sejak itu, kesihatannya bertambah baik dan setakat ini, Muhammad Hafizam sudah boleh bermain futsal, memancing serta melakukan aktiviti riadah yang lain seperti merentas desa (bukan pertandingan),” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

"Keluarga ini memerlukan bantuan kewangan memandangkan perbelanjaan yang agak tinggi setiap kali ke IJN iaitu RM1,000 termasuk kos tambang, penginapan (semasa rawatan), makan minum dan bayaran hospital," tambahnya.

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata JPNT akan membantu keluarga Muhammad Hafizam mendapatkan dana atau sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban mereka.

"Bapanya, Mohd Tajuddin Sulong, 48, bekerja sebagai buruh manakala ibunya, Masnorma Ismail, 40 adalah seorang suri rumah. Pasangan ini perlu dibantu kerana selain Muhammad Hafizam, mereka turut mempunyai seorang lagi anak Mohd Arif Fikri, 14, yang menghidap kanser tulang.

"Kementerian dan JPNT akan terus membantu keluarga ini berdasarkan keperluan semasa dan pada masa sama memantau perkembangan anak-anak mereka di sekolah agar semuanya berjalan lancar," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

Murid lain bersesak untuk pulang ke rumah tetapi dia bergegas ke surau untuk solat...Allahuakbar

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar