JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan menggalakkan pihak swasta untuk bersama-sama membantu mengetengahkan ilmu kemahiran robotik di sekolah tahfiz di negara ini.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata ilmu berkaitan robotik dilihat amat penting untuk dilengkapkan dalam kalangan murid sekolah berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak ketinggalan selaras arus semasa.

"Kementerian Pendidikan sememangnya menggalakkkan aktiviti robotik kerana ini merupakan persiapan kepada anak-anak kita di alam pekerjaan di masa hadapan yang begitu bergantung kepada robotik, kepada ilmu berkaitan Revolusi Industri 4.0.

"Jadi, kita mesti melengkapkan anak-anak kita segala ilmu yang menyediakan masa depan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup pertandingan Tun Fatimah Innovation Challenge (Tun Fatimah i-Challenge) di sekolah Tun Fatimah, di sini kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu melahirkan kegembiraan terhadap pertumbuhan sekolah tahfiz di negara ini.

Namun, dalam masa sama, beliau bimbang murid di sekolah itu yang dilihat kurang didedahkan dengan kemahiran robotik untuk masa depan mereka.

Mengenai pertandingan Tun Fatimah i-Challenge yang mengetengahkan aktiviti pengaturcaraan dan pembangunan robotik, beliau percaya ia mampu melahirkan pelajar yang sangat teliti, mempunyai komitmen yang tinggi serta sabar dalam menyelesaikan sesuatu masalah.- Bernama

Artikel Menarik:

Guru SK Taman Cuepacs cipta kelainan, kumpul token dapat hadiah

'Arwah ibu mahu saya jadi contoh pada adik-adik' - Calon PT3 semangat belajar walaupun berbaring

'Pengetua gendong pelajar sakit ke klinik kesihatan' - Cara Cikgu Yok Huck buat ramai netizen sebak