Siri 2

Banyak perancangan yang dibuat lebih memfokuskan kepada peningkatan prestasi guru, bagaimana dengan pengetua dan guru besar?

Ahmad Kamal Idris, Pengetua SMK Seksyen 18, Shah Alam, Selangor

DR. MASZLEE: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah sesekali mengabaikan aspek pengukuhan kerjaya dan prestasi pengetua dan guru besar. Malah KPM melihat pengetua dan guru besar sebagai teras terpenting dalam kejayaan sesebuah sekolah. Kekuatan pengetua dan guru besar menjadi antara faktor utama yang bakal menentukan kejayaan agenda reformasi pendidikan yang sedang digerakkan sekarang. Sehubungan itu, KPM akan meneruskan program-program
peningkatan prestasi sedia ada kini untuk pengetua dan guru besar. Malah KPM juga sedang dalam proses meningkatkan kualiti program-program ini di samping
sentiasa terbuka untuk melaksanakan pembaharuan khusus bagi memastikan kita memiliki kelompok pengetua dan guru besar.

Saya cadangkan agar KPM mewujudkan elaun guru-guru kanan di sekolah SKM (Sekolah Kekurangan Murid) kerana tugas mereka lebih teruk daripada guru penolong kanan di sekolah biasa.

Shahri Abdul Rani, Guru Besar SK Kenering, Gerik, Perak

DR. MASZLEE: KPM amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh guruguru kanan di seluruh negara.  Cadangan ini merupakan sebahagian daripada cadangan positif untuk meningkatkan motivasi guru. Namun begitu, ia perlu diperhalusi dengan baik dan menyeluruh.

KPM perlu menjadikan kasih sayang, kegembiraan dan hormat menghormati di semua lapisan, bukan hanya untuk guru-guru sahaja tetapi meliputi JPN, PPD dan pentadbir sekolah. Situasi yang berlaku hari ini boleh menjatuhkan mood kerja kumpulan pentadbir.

Bibi Sakinah Haron Khan, Guru Besar SK Laksamana Kota Tinggi, Johor

DR. MASZLEE: Penerapan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kegembiraan bukanlah semata-mata  kepada sesetengah pihak sahaja, namun menjadi hasrat saya ia meresap ke seluruh sistem pendidikan negara, termasuk mereka yang di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir. Sehubungan itu, kita mahu memastikan nilai-nilai ini menjadi pegangan di setiap peringkat dan wajar diaplikasikan dengan tepat untuk mewujudkan budaya kerja dan budaya penerimaan ilmu yang berkesan dan menyeronokkan.

 

***Setiap minggu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik akan menjawab tiga soalan yang dikemukakan guru-guru.

Boleh emelkan soalan kepada [email protected] atau What'sApp kepada www.wasap.my/+60192802080

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga soalan untuk Menteri Pendidikan - Ini jawapan Dr. Maszlee]

Artikel menarik:

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob

Meja guru perlu kemas dan tersusun - Panduan ini mungkin berguna buat cikgu-cikgu di Malaysia