PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan sesi libat urus bersama tiga kesatuan sekerja dalam perkhidmatan perguruan Semenanjung, Sabah dan Sarawak berhubung agenda peningkatan kualiti pendidikan bahasa Inggeris.

Lebih 20 pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menghadiri sesi itu di sini semalam.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan kementerian, KPM memaklumkan sesi libat urus itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

“Sesi ini menyentuh pelbagai aspek berkaitan usaha KPM merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025) iaitu pelan hala tuju pendidikan bahasa Inggeris,” katanya. 

Turut hadir dalam sesi libat urus itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Habibah Rahim.

Menurut kenyataan itu, sesi pertemuan seterusnya diadakan selepas sambutan Aidilfitri yang akan membincangkan isu berbangkit dengan lebih menyeluruh.

“Sesi ini juga menjelaskan rasional pelaksanaan inisiatif English Language Education Reform in Malaysia:The Roadmap (2015-2025),” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 14 April lalu, KPM mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru mengajar Bahasa Inggeris menduduki Ujian Kemasukan Universiti Malaysia (MUET).

Namun, Presiden NUTP, Aminuddin Awang meminta KPM dan pihak berkepentingan sektor pendidikan membuat kajian komprehensif untuk mengetahui punca kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Artikel berkaitan:

KPM akan perluas penguatkuasaan bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga pengajar

KPM lancar Kempen Guru PAK21 galakkan guru kongsi pengalaman dan tonjol pendekatan terbaik dalam kelas

Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris: The Roadmap bantu guru dan murid

Dr. Habibah beri penjelasan mengapa guru opsyen bahasa Inggeris perlu sangat ambil MUET