Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang berada di kawasan berisiko seperti berhampiran sungai dan lembah bagi memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah di sekolah berkenaan.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata ini kerana pihaknya menyedari terdapat banyak sekolah yang berada di kawasan berisiko misalnya kawasan banjir, yang sering terjejas setiap kali cuaca hujan.

"Misalnya di Ketereh (Kelantan) sendiri (kawasan saya), begitu juga ada satu sekolah naik air sikit habis banjir, tapi daripada segi ekonominya kita sedar sekiranya perkara ini berlarutan impak kewangannya adalah cukup besar, sebab itu kita sedang mengenal pasti sekolah-sekolah yang berada dalam keadaan ini.

"Keutamaan (penyelesaian masalah) yang akan diletakkan kepada sekolah-sekolah ini bergantung kepada masalah dihadapi sekolah tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Alamin (BN-Kimanis) berhubung sekolah-sekolah yang terdedah kepada risiko bencana alam.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Radzi berkata KPM sentiasa memantau keadaan kemudahan bangunan dan sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi memastikan kementerian mempunyai maklumat perincian fizikal komponen atau kemudahan bangunan di sekolah yang tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan.

"KPM sentiasa prihatin dan terus beri perhatian kepada usaha menyediakan kemudahan bangunan dan sekolah yang dapat berfungsi dengan baik bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan selamat di sekolah,” katanya.- BERNAMA