Kementerian pendidikan (KPM) telah membangunkan satu sistem permohonan kemasukan pelajar  Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus secara single entry point untuk kemasukan tahun hadapan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata ia melibatkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan pelajar ke Sekolah Khusus, iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Menurut kementerian, sistem itu melibatkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.

Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan kemasukan ke SBP dan SMKA untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4, SMT dan MTD untuk Tingkatan 4 dan Kolej Vokasional untuk Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia.

Menurut kenyataan itu, permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my dan permohonan ke Tingkatan Empat melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.

Menurut kementerian, semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 buah pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.

Tarikh bagi permohonan dalam talian untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 adalah pada 7 Sept hingga 2 Okt, manakala semakan pusat pentaksiran bagi Tingkatan 1 pada 7 Okt hingga 23 Okt dan Tingkatan 4 pada 12 Okt hingga 6 Nov.

Pelaksanaan pentaksiran akan dijalankan untuk Tingkatan 1 pada 12 Okt hingga 23 Okt dan Tingkatan 4 pada 26 Okt hingga 6 Nov.

KPM memaklumkan pentaksiran kemasukan Sekolah Khusus yang akan dilaksanakan merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).- BERNAMA