Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) bagi menaik taraf dan membangunkan semula bangunan sekolah yang daif di seluruh Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata peruntukan dalam RMK11 itu adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah, manakala baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMK12, tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan.

"Kementerian juga menggunakan peruntukan daripada Program Khusus Penyelenggaraan Institusi Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan, berdasarkan keutamaan mengikut skala impak. Bagi tahun 2020, peruntukan penyelenggaraan bagi negeri Sabah adalah sebanyak RM39.5 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanyakan sama ada kerajaan sedar mengenai kewujudan bangunan sekolah di Sabah yang telah diisytiharkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat untuk digunakan seperti bangunan asrama dan flat guru sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu; dan langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk menanganinya.

Radzi berkata, sehingga 31 Mei lepas, terdapat 414 sekolah di Sabah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak enam iaitu bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, serta  52 sekolah yang mempunyai bangunan pada tahap skala impak tujuh, iaitu bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada JKR.

Katanya mengikut perancangan, kerja-kerja membaik pulih asrama dan kemudahan lain di sekolah berkenaan akan dapat diselesaikan dalam tempoh lapan bulan selepas proses perolehan dibuat.

”Pada peringkat awal, pihak JKR bercadang untuk membuat pelawaan tender pada bulan Mac 2020. Bagaimanapun, pelawaan tender ini ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terkini, pihak JKR Malaysia telah membuka iklan tender pada 30 Jun dan akan ditutup pada 3 Ogos 2020,” katanya. - BERNAMA