SHAH ALAM - KPM sentiasa menumpukan usaha untuk merekabentuk kurikulum pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata ianya bagi melahirkan pelajar dan graduan yang boleh menyesuaikan diri dan mampu menghadapi cabaran masa depan yang tidak menentu.

"Konsep pendidikan berteraskan IR 4.0 dapat memastikan pelajar dan graduan yang dilahirkan kekal relevan dan memenuhi keperluan negara dan industri.

"Usaha ini dijalankan melalui pelaksanaan pendidikan STEM, menambah baik kurikulum, pembelajaran Abad 21, penggunaan teknologi dalam penyampaian kurikulum, global classroom serta pembelajaran secara maya termasuk kerjasama dengan agensi seperti MDEC dan lain-lain," katanya.

Katanya lagi, bagi memastikan sistem pendidikan tidak berpaksi kepada peperiksaan semata-mata, KPM telah membuat keputusan memansuhkan amalan peperiksaan bagi murid tahap 1 (Tahun 1 hingga Tahun 3) di sekolah rendah KPM mulai tahun 2019.

"Keputusan pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi murid Tahap 1 adalah selaras dengan konsep pembelajaran yang berorientasikan perkembangan murid serta membolehkan guru memberi fokus kepada tugas mendidik dan menyemai nilai-nilai murni kepada murid.

"Selain daripada itu, KPM telah melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah," katanya.

Menurut beliau, di peringkat pendidikan tinggi pula, pentaksiran prestasi pelajar tidak lagi berdasarkan kepada peperiksaan semata-mata tetapi merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran insaniah, sahsiah dan sebagainya.

"Bagi isu penyediaan kertas peperiksaan oleh pihak sekolah, Lembaga Peperiksaan (LP) telah meneliti dan sangat berhati-hati dalam penyediaan Standard Operating Procedure (SOP) peperiksaan atau pentaksiran menerusi dokumen Panduan dan Pengurusan Peperiksaan atau Pentaksiran terutama perkara berkaitan dengan bahan peperiksaan.

"SOP ini diselaraskan dengan aspek pengurusan peperiksaan/pentaksiran yang sistematik, cekap dan berakauntabiliti.

"Dalam kes ketirisan maklumat peperiksaan atau pentaksiran, siasatan akan dilakukan kepada personel yang terlibat dalam ketidakakuran dan ketidakpatuhan kepada SOP," katanya.

Beliau menjawab isu isu akademik, kurikulum dan kokurikulum yang dibangkitkan oleh Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Adun Santubong, Sarawak), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Adun Kubang Kerian, Kelantan), Ahmad Johnie Zawawi (Adun Igan, Sarawak), Datuk Rosol Wahid (Adun Hulu Terengganu, Terengganu), Sivakumar Varatharaju (Adun Batu Gajah, Perak), dan Sabri Azit (Adun Jerai, Kedah).

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel lain:

KPM sentiasa beri perhatian, memastikan tenaga pengajar mencukupi

Cadangan mewujudkan perjawatan warden tetap di asrama akan dikaji

Insentif kepada guru yang menyambung pengajian ke peringkat master dan PhD

'Bantuan Umum, Bantuan Khusus dan Bantuan One-Off' - peringkat sekolah rendah dan menengah

KPM akan terus pastikan murid mendapat bantuan dan sokongan pendidikan relevan dengan keperluan