KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa beberapa pilihan atau kaedah telah tersedia untuk memastikan tidak berlaku kesesakan kemasukan berganda pelajar kelas peperiksaan awam pada tahun hadapan.

Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin, bagaimanapun, berkata kaedah itu sedang dalam proses perincian bagi menghasilkan satu kerangka yang jelas dan akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

"Tetapi ibu bapa tidak perlu risau. Percayalah kami, kami akan memastikan apa sahaja keadaan kita boleh uruskan dengan kaedah yang paling baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan Bernama mengenai perancangan KPM jika berlaku kemasukan berganda pelajar kelas peperiksaan awam pada tahun hadapan menerusi sesi libat urus bersama media di platform dalam talian Skype for Business, semalam.

Semalam, Dr Mohd Radzi, dalam sidang media sebelumnya, memaklumkan pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Beliau berkata, tarikh peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021, manakala bagi STPM pula tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020 dan Semester 3 dalam suku pertama tahun 2021.

Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama 2021. - Bernama

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba