PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti perincian yang terbaik, berkaitan status takwim persekolahan bagi pelajar tingkatan 4, 5 dan 6, kata menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Dr Mohd Radzi berkata ini kerana pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) ketika ini berjalan seperti biasa, dan takwim persekolahan kekal seperti sedia ada.

"Kita tahu apabila kita lambatkan satu penggal, akan berlaku pertindihan (kelas), tetapi banyak kaedah yang kita boleh laksanakan.

"Sekarang kita telah ada pelbagai pilihan yang kita sedang pertimbangkan. Bila sampai masanya, kita akan umum," katanya menjawab soalan pemberita mengenai kebarangkalian pertindihan kelas berlaku apabila memasuki tahun hadapan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan apabila perincian itu sudah dimuktamadkan, KPM akan turut memastikan persediaan yang rapi bagi pelajar yang menduduki peperiksaan awam, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Apa sahaja pilihan yang kita pilih, KPM ingin tegaskan, kita akan pastikan setiap pelajar yang menduduki peperiksaan itu mendapat ruang secukupnya, untuk mereka membuat persediaan sebelum mereka menduduki peperiksaan masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai perubahan takwim persekolahan, beliau menjelaskan tarikh takwim kekal seperti sedia ada, dan sebarang perubahan akan dimaklumkan KPM kelak. - Bernama

Artikel Menarik:

'UPSR batal.. penilaian dilakukan dengan pelbagai kaedah lain' - Dr Mohd Radzi

Teks ucapan penuh Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

'Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video' - Cikgu boleh cuba ni

Selamat datang Menteri Pendidikan baharu, ini biodatanya