Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membangunkan Portal Rumah Siswa sebagai platform kepada mahasiswa untuk mencari rumah sewa di sekitar kampus, kata Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata portal itu berfungsi menghubungkan antara pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcara proses pencarian bilik atau rumah sewa pada harga kompetitif.

Katanya, sebanyak 1,250 rumah telah didaftarkan di portal tersebut hingga 16 Feb lepas dan mahasiswa boleh mula mengakses portal itu melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.

Berucap pada perasmian Portal Rumah Siswa secara maya hari ini, Noraini berkata pembangunan portal itu dilaksanakan di bawah Agenda Rumah Sewa Siswa yang turut melibatkan dua inisiatif lain iaitu Penubuhan Unit Pengurusan pelajar Luar Kampus dan Pembangunan Garis Panduan Pengurusan pelajar Luar Kampus.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan sebagai panduan kepada pengurusan universiti dalam mentadbir, menyelaras dan menguruskan segala keperluan, maklumat, pembangunan serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus khususnya yang menetap di rumah sewa agar lebih etratur dan menyeluruh.

Noraini berkata usaha menubuhkan Unit Pengurusan pelajar Luar Kampus bermula tahun lepas bagi menjalankan fungsi sebagai badan pentadbir, penasihat dan pemantau kepada pelaksanaan program dan aktiviti pelajar luar kampus dan juga pemberi khidmat kaunseling perumahan kepada pelajar luar kampus.

Katanya, kesemua 20 universiti awam telah mewujudkan portfolio baharu bagi Pengurusan pelajar Luar Kampus.

Mengenai garis panduan, beliau berkata ia meliputi lima skop penting iaitu Pembangunan pelajar Luar Kampus, Perkhidmatan pelajar Luar Kampus, Pengurusan Kebajikan pelajar Luar Kampus, Pengurusan Rumah Sewa Luar Kampus serta Jaringan Kemasyarakatan yang bertujuan menjamin kesinambungan dan kelancaran pengurusan pelajar luar kampus.

Pada majlis itu, Noraini turut menyerahkan simbolik garis panduan itu kepada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman yang mewakili seluruh universiti awam.

- BERNAMA