PADA pandangan saya, kepimpinan sekolah merupakan perkara pokok yang akan menjadi penggerak utama sesebuah sekolah.

Sudah pastilah pengetua merupakan individu yang paling penting dan berpengaruh.

Pengetua harus bertanggungjawab terhadap semua aktiviti yang berlaku di sekolah.

Kepimpinan pengetua akan menentukan rentak, irama sekolah, iklim pembelajaran, tahap profesionalisme dan moral guru serta sejauh mana keprihatinannya terhadap pencapaian dan masa depan pelajarnya.

Malah pengetua juga akan menjadi penghubung utama antara sekolah dengan masyarakat, komuniti, ibu bapa dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Bukan itu sahaja malah seorang pengetua seharusnya mempunyai nilai keperibadian seperti integriti, kredibiliti, kecekapan, disiplin dan amalan refleksi serta muhasabah diri bagi memastikan kejayaan pengurusan sekolah.

Segala cabaran tersebut boleh diatasi dengan niat yang betul, hala tuju sekolah yang jelas, berfikiran positif, kesabaran serta bekerja dalam satu pasukan yang mantap dan penuh keseronokan.

Guru sangat penting untuk memastikan kemenjadian pelajar.

'Guru Mengajar Murid Belajar' memperlihatkan bahawa peranan guru itu sangat penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran di kelas.

Setiap guru perlu menanamkan niat yang jelas yang tugas ini adalah amanah yang perlu dilakukan dengan penuh integriti.

Saya sering mengingatkan guru-guru agar melaksanakan tugas sebagai satu ibadah dan didiklah pelajar seperti mana kita mendidik anak-anak kita sendiri untuk mereka berjaya.

Apabila seorang guru itu mempunyai perasaan 'anak orang adalah anak sendiri' sudah pasti amanah dan tanggungjawab seorang guru itu akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Kejayaan seorang guru jangan diukur semata-mata melalui kecemerlangan akademik pelajar tetapi sebaliknya penerapan nilai dan sahsiah oleh guru itu amat penting untuk mereka menjadi manusia yang boleh memberikan sumbangan dan bukan menjadikan manusia yang menyusahkan pihak lain.

Oleh yang demikian seorang guru harus berfungsi sebagai suri teladan dan dapat 'memanusiawikan' pelajar mereka.

Perjalanan anak-anak murid kita masih panjang maka didiklah mereka dengan ilmu yang bermanfaat dan dengan keikhlasan, kesabaran serta kasih sayang.

Jangan sesekali seorang guru itu bersifat prejudis dan melabelkan pelajar kita sebagai seorang yang gagal dan tidak mempunyai masa depan.

Seorang pelajar yang melangkah ke sekolah sudah pasti akan berlaku pelbagai persepsi minda.

Ada yang hadir ke sekolah kerana perlu hadir ke sekolah dan kosong hala tujunya.

Ada yang hadir ke sekolah dengan minda yang berserabut seribu satu masalah dari rumah.

Namun ada yang hadir ke sekolah berserta dengan sasaran yang jelas dan dengan semangat ingin menggapai kejayaan.

Semua persepsi minda itu akan menjadi cabaran kepada pihak guru untuk menelusurinya dengan cara berhemah dan berhikmah.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab sekolah untuk memastikan pelajar yang hadir ke sekolah perlu ada hala tuju yang jelas dari segi pencapaian akademiknya, kokurikulum, sahsiah dan disiplin diri.

Tanamkan dalam diri setiap murid bahawa mereka adalah aset negara yang sangat bernilai.

Bakat serta potensi diri pelajar perlu diserlahkan dalam pelbagai bidang dan cara.

Sekiranya pelajar tidak menunjukkan minat dalam aliran perdana maka bidang Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) di Kolej Vokasional atau di Kolej Kemahiran perlu menjadi saluran untuk murid ini menyerlahkan bakat dan potensi diri mereka.

Perkara ini amat seiring dengan seruan kerajaan sendiri untuk meningkatkan penyertaan remaja dan belia dalam bidang TVET sememangnya menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak dalam pasaran.

Bagi pelajar sendiri pula tanamkan dalam diri keseronokan belajar dalam apa jua bidang aliran pendidikan yang mereka pilih.

Dalam konteks ini, ibu bapa pula perlu menyokong dan berfikiran positif serta sentiasa memotivasikan anak-anak untuk berjaya dalam apa jua bidang yang dipilih oleh mereka.

Berusaha untuk memahami emosi dan perasaan anak-anak dalam peringkat remaja ini.

Jangan kita membunuh semangat dan celarukan emosi serta persepsi negatif terhadap kemampuan anakanak kita dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Jom kita sama-sama memperkasakan fungsi masing-masing agar sekolah menjadi satu destinasi yang menyeronokkan bagi pelajar untuk meraih kejayaan, membina sahsiah unggul dan menyerlahkan potensi diri mereka.

NOOR HAYATI EMBONG
Pengetua
SMK Saujana Utama (SUTAMA)
Sungai Buloh, Selangor

Artikel Menarik:

Didiklah murid dengan penuh sabar, setiap mereka berbeza

Jadilah insan biasa yang luar biasa

Jika kamu tak tahan penatnya belajar, kamu tanggung peritnya kebodohan