Sime Darby Young Innovators Challenge (SDYIC), yang dianjurkan oleh Yayasan Sime Darby (YSD) kembali untuk edisi kelima tahun ini, menyediakan platform untuk pelajar sekolah menengah meningkatkan kemahiran abad ke-21 mereka.

Bersempena dengan Hari Kanak-kanak Sedunia, 15 pasukan telah dipilih sebagai finalis untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Bertemakan "Bantu Seseorang, Ubah Dunia", program ini bertujuan untuk mengetengahkan idea inovatif dalam menyelesaikan masalah kehidupan sebenar bagi masyarakat, yang bermula dengan membantu satu orang.

Berikutan pengumuman 15 pasukan finalis daripada seramai 1,581 pelajar yang terdiri daripada 610 pasukan daripada 406 sekolah di seluruh negara, penyertaan mereka dinilai berdasarkan skalabiliti, impak yang disasarkan kepada masyarakat, kepatuhan kepada peraturan, dan pelaksanaan prototaip mereka.

Mereka juga layak menjalani latihan dan pendedahan selama sebulan di Kem Nasional SDYIC 2020 yang bermula baru-baru ini.

Melalui program ini, pelajar berpeluang mengasah pelbagai kemahiran inovasi asas dalam sesi bimbingan yang komprehensif, di samping belajar bagaimana untuk membentangkan idea reka cipta mereka dengan berkesan.

Setelah berakhirnya kem tersebut, 15 pasukan finalis diminta membentangkan kesan serta hasil yang dijangkakan daripada projek mereka semasa Acara Akhir SDYIC 2020 hujung bulan ini.

Sekurang-kurangnya tiga pasukan akan dipilih untuk menerima geran inovasi berjumlah RM60,000.

Pasukan yang menang juga akan berpeluang untuk menambah baik prototaip mereka serta bekerjasama dengan komuniti yang mereka sasarkan sebelum melaksanakan hasil reka cipta mereka untuk menyelesaikan masalah dan cabaran.

Dalam perkembangan lain, YSD juga mengiktiraf alumni dan pemenang SDYIC yang lalu, khususnya tiga pelajar dari SMK Lutong yang telah mencipta rekaan yang dikenali sebagai "The Beep".

Idea ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekolah melalui alat yang boleh memaklumkan pelajar akan kedatangan ibu bapa mereka.

Ciptaan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada 1,500 ahli masyarakat setempat di Lutong, Sarawak, dengan 100 unit prototaip disasarkan untuk diedarkan kepada ibu bapa dan murid SK Lutong mulai Januari 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr Yatela Zainal Abidin berkata, SDYIC merupakan sebuah inisiatif yang amat dekat dengan hati kami.

“Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para remaja di Malaysia mengenai kemahiran inovasi praktikal untuk penyelesaian kreatif yang bersesuaian dengan Revolusi Industri Keempat (4IR).

“Pelajar-pelajar dapat bekerjasama dan mencari penyelesaian yang inovatif, kreatif, dan realistik dengan mengasah kemahiran daya fikir, inovasi, kepemimpinan, dan keusahawanan.

“Selain itu, SDYIC juga memberi peluang kepada dua kumpulan mentor dengan peluang pembelajaran dalam bentuk latihan yang lain daripada lain bagi meningkatkan kemahiran pedagogi dengan kaedah pengajaran yang inovatif untuk guru sekolah menengah, dan peluang untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan insaniah dalam kalangan siswazah,” katanya.

Mereka juga bangga dapat menyokong dan mengumpulkan agensi-agensi pendidikan nasional dan negeri, universiti, masyarakat dan para anggota industri teknologi untuk bersama meraikan bakat, kreativiti dan daya cipta pelajar sekolah menengah di Malaysia.

Senarai 15 pasukan finalis

1) Pasukan Indahpura 1 dari SMK Indahpura (1), Kulai, Johor dengan prototaip Toilet Counter, untuk memastikan keselamatan ketika di tandas awam.

2) Pasukan Safety Jacle dari SMK Permas Jaya, Masai, Johor dengan prototaip unik mereka ‘Bicycle Jacket’ untuk menambah baik keselamatan penunggang basikal di jalan raya.

3) Pasukan Brain Circuit dari SMK Mulong, Kota Bharu, Kelantan bersama prototaip pengesan ketinggian untuk pengukuran dan rakaman ketinggian yang lebih pantas dan tepat.

4) Pasukan BRIGHTASTIC dari SMK Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan dengan penemuan perangkap cahaya untuk kawalan perosak pertanian yang berkesan.

5) Pasukan Star T.E.K. dari SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dengan prototaip "Waste Me Not" mereka untuk mengelakkan pembaziran makanan dengan menggunakan kawalan inventori.

6) Pasukan LB Group dari SMK Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor dengan penemuan "Temp Temp" mereka untuk kios pemeriksaan suhu yang berkesan di sekolah yang menggunakan QR Code.

7) Team Metherling dari SMK Pulau Sebang, Tampin Pos, Melaka dengan pemeriksaan suhu dan sistem pengenalan pelajar menggunakan pembaca RFID.

8) Team Eco Valiants dari SMK King George V, Seremban, Negeri Sembilan dengan prototaip “Drain Unclogger” mereka untuk memerangkap sampah dan mengelak longkang tersumbat.

9) Pasukan T.E.S. V3.0 dari SMK Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan penemuan kawalan penglihatan untuk melindungi kanak-kanak dari sindrom penglihatan komputer / peranti.

10) Team Smart Nature dari SMK Sanglang, Simpang Ampat, Perlis dengan penemuan yang dipanggil Smart Bin Network yang akan memperbaiki sistem pengumpulan sampah semasa.

11) Pasukan Iris dari SM St. John, Tuaran, Sabah dengan alat pengesan sosial yang akan membantu menjaga jarak yang selamat antara dan di antara murid-murid sekolah.

12) Pasukan Europa dari SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah dengan "Postbox", sebuah prototaip yang memudahkan pengumpulan bungkusan untuk selamat dihantar.

13) Pasukan Aztec dari SMK Merbau, Miri, Sarawak dengan alat "Guardian Detector" yang menghalang kanak-kanak kecil dari merayau.

14) Pasukan ‘J2’ dari SMK Julau No. 2, Julau, Sarawak dengan mesin pengering lada inovatif untuk petani kecil di Sarawak.

15) Pasukan Aces dari SMK Tiong Hin, Sibu, Sarawak dengan jaket keselamatan pengawal trafik yang inovatif.

INFO

Program SDYIC ditubuhkan untuk  menggalakkan pemupukan corak pemikiran inovatif dalam kalangan belia berusia antara 13 hingga 17 tahun di Malaysia.

Peserta didorong dan dibantu untuk membangunkan penyelesaian pintar dan inovatif untuk menangani masalah dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat setempat dengan berkesan.

Usaha ini ditunjukkan oleh pelajar-pelajar melalui penciptaan prototaip bijak dan berfungsi, melalui penggunaan pelbagai platform perkakasan dan perisian sumber terbuka.  

SDYIC tahun ini merupakan kali pertama dalam sejarah program unggulan ini yang menyaksikan YSD memanfaatkan teknologi dan keupayaan digital yang ada untuk memperkenalkan bengkel, program, dan pertandingan yang inovatif.

Sebanyak RM750,000 telah diperuntukkan sejak bulan Januari 2020 bagi memastikan SDYIC 2020 berjalan dengan lancar.

YSD juga turut sekali lagi bekerjasama dengan Chumbaka Sdn Bhd (Chumbaka) untuk memberi latihan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sejak program ini dilancarkan, SDYIC telah menyaksikan seramai 1,224 guru sekolah menengah dan 935 siswazah/pelajar sarjana dilatih untuk menerapkan kemahiran pemikiran reka bentuk, gamifikasi dalam pembelajaran dan pembinaan prototaip menggunakan platform Arduino melalui program tahunan Train the Trainer (TTT).

Hal ini membolehkan para guru untuk terus membimbing para pelajar sekolah menengah dengan kemahiran ini walaupun setelah tamat program, bagi memupuk budaya inovatif di sekolah.