KUALA LUMPUR - Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Perintah itu disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Arahan-arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan:

i. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;

ii. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Mereka yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

iii. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

iv. Penutupan semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

v. Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara; dan

vi. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

Berikut merupakan antara soalan lazim berkaitan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat 4.10 petang (17 Mac 2020):

1. Adakah majlis keraian/ perkahwinan/ kenduri atau sebagainya boleh diadakan?

Sebarang majlis resepsi adalah tidak dibenarkan.

2. Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 - 31/3/2020?

Perintah ini berkuat kuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

3. Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?

Ya.

4. Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?

Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

5. Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?

Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Walau bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

6. Saya merupakan pemegang pas jangka masa panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum Perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan untuk kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini?

Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara (essential services) sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing-masing dan perlu dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk.

7. Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan untuk berulang alik ke pejabat di Singapura?

Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran tetapi tinggal di Malaysia adalah tidak dibenarkan untuk keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing-masing berkenaan perkara ini.

8. Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan telah membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya?

Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang untuk pergi ke mana-mana tempat termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.

9. Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara?

Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

10. Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti?

Tidak perlu.

11. Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta Institut Latihan Kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan?

Ya.

12. Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta khususnya pelajar luar negara?

Semua pelajar IPT awam dan swasta perlu diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada Perintah yang berkuat kuasa.

13. Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka?

Kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.

14. Adakah pengangkutan awam seperti Bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi?

Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuat kuasa.

15. Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?

Orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang telah dibuat sebelum Perintah ini diumumkan.

16. Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit COVID-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?

Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil. - Bernama

Artikel lain:

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Guru ini perkenal teknik ‘ulat beluncas hijau’ bantu murid menulis karangan dengan baik

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain