KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengambil peluang menyambut Hari Guru 2020, menerusi pendekatan panggilan video.

Menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau, Saifuddin mengadakan panggilan video bersama pengetua, guru besar, wakil Pejabat Pendidikan Daerah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekitar Indera Mahkota, Pahang.

"Antara lain saya komit peruntukan untuk program dalam talian masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB); membantu pelajar miskin masa Covid-19 dan pembersihan/sanitasi sekolah menengah yang bakal dibuka selepas PKPB," kata beliau dalam catatan di laman Facebook pada 16 Mei lalu.

Dalam catatan Facebook berasingan, Saifuddin turut berkongsi pengalaman peribadi beliau mengajar semasa Tingkatan Enam dengan membuka kelas bimbingan pelajar secara percuma, serta pernah mengajar sementara di sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2.

"Guru umpama lilin yg membakar diri buat menerangi masa depan anak didik dan ibu pertiwi. Selamat Hari Guru buat semua para guru. Saya minat mengajar dan sebagai Ahli Parlimen Temerloh (dulu) & Indera Mahkota (kini) saya rapat dengan warga guru.. peratus terbesar peruntukan saya adalah untuk program pendidikan,” katanya.

Sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun bagaimanapun diadakan secara berbeza pada tahun ini, memandangkan negara kini dalam fasa memerangi penularan Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas Hari Guru 2020 turut menggalakkan guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara dalam talian dan 'home-based learning'. - Bernama

Artikel berkaitan:

Enam guru yang namanya disebut-sebut PM

Norma baharu: pelajar perlu diberi kebebasan untuk belajar ikut kemampuan mereka

Pembelajaran maya adalah masa hadapan, PM rayu guru dalami kemahiran pengajaran atas talian

Ucapan PM sempena Hari Guru ibarat nasihat seorang ayah

Hanya tumpu kelas peperiksaan, belum ada perancangan untuk pelajar lain - KPM