KUALA LUMPUR - Tiga pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara berjaya membawa pulang tiga anugerah pada pertandingan BIEA 2020 International STEM Youth Innovation Competition, baru-baru ini.

Anugerah berkenaan adalah Best Report, Best Video dan Rising Star Team.

Pertandingan yang diadakan secara atas talian dan dianjurkan British International Education Association (BIEA), London membabitkan 2,000 peserta dari 50 negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 36 pasukan dari 14 negara terpilih ke peringkat akhir.

Guru pembimbing, Lee Saw Im berkata, kejayaan pelajar yang terlibat iaitu Aliff Luqman Nasution, Eeshwar A/L Uthaya Kumar, Puteri Nur Atiqah Omar, Kow Hong Kiat, Ejjaz Hakimi, Ezrin Marissa dan Ryan Khoo itu adalah hasil kerja keras yang dilakukan.

"Mereka bertanding secara maya. Penghasilan produk juga secara dalam talian.

"Walaupun nampak sukar, tapi pelajar-pelajar ini tetap memberi yang terbaik dan akhirnya, tiga anugerah berjaya dirangkul sekaligus mengharumkan nama Malaysia," kata Guru Cemerlang Kimia ini.

Belajar secara online

Menurut Cikgu Saw Im, penyertaan pelajarnya dalam BIEA 2020 International STEM Youth Innovation Competition kali ini sangat berbeza berbanding pertandingan terdahulu.

"Sebagai guru pembimbing, saya perlu mencari alternatif untuk membantu pelajar menyiapkan produk mereka.

"Bayangkan ketika pertandingan berlangsung, Malaysia telah diuji dengan Covid-19 dan ini tentulah memberi kesukaran buat saya dan pelajar untuk mengadakan perbincangan," jelasnya.

Kerana itu, Cikgu Saw Im telah memulakan pengajaran atas talian pertamanya 23 Mac bagi membantu pelajar menyiapkan produk pertandingan.

"Saya langsung tidak mempunyai pengalaman mengajar atas talian. Jadi, saya telah mengambil masa selama seminggu untuk belajar dan merancang mengadakan pengajaran atas talian meggunakan Zoom dan Google Meet.

"Setelah merungkai Dokumen Standard Kurikulum dan Penilaian (DSKP) Kimia, saya sekali lagi merancang satu Problem Based Learning (PBL) untuk pelajar Tingkatan Empat," katanya.

Cikgu Saw Im telah memberi isu tentang pembuangan sisa plastik sebagai PBL kepada pelajar supaya mereka bekerjasama secara maya semasa membincangkan isu ini dalam tempoh PKP. Seterusnya mereka cipta robot atau alatan dengan menggunakan idea teknologi yang boleh mengumpul sisa plastik.

Perbincangan, pembentangan dan penilaian setiap kumpulan telah dijalankan atas talian oleh Cikgu Saw Im. Semua pelajar sangat teruja semasa mereka melakukan pembentangan atas talian.

Penglibatan dan pencapaian ini telah memberi inspirasi dan meningkatkan nilai mencintai alam sekitar kalangan murid-murid.

Artikel menarik:

Baru berusia 32 tahun, Osman kini guru besar termuda di Malaysia. Rezeki dan tahniah cikgu! 

Mudanya! Usia 33 tahun, guru ini dah jadi Guru Besar. Cikgu ini kongsi, kot boleh jadi inspirasi

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua