KUALA LUMPUR - Belajar taranum sejak usia 5 tahun, baca al-Quran setiap kali selepas solat.

Ini tip yang dikongsikan Johan Qariah Kategori Tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-61, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 19.

Pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Labu, Negeri Sembilan ini berharap kemenangannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berjaya.

Menurut Nor Farhatul Fairuzah, dengan minat mendalam dan usaha yang berterusan tidak mustahil untuk seseorang itu mencapai kejayaan pada usia muda.

“Saya sendiri akui masih banyak perlu belajar mengenai al-Quran tetapi dengan sedikit ilmu yang saya ada ini, saya kongsi dengan rakan agar mereka turut mendapat manfaat.

“Sebagai anak muda, saya harap boleh menjadi contoh yang baik kepada rakan sebaya. Apatah lagi pada zaman teknologi ini ramai anak muda terpesong, maka kita perlu mendekati mereka,” katanya.

Nor Farhatul Fairuzah (tengah) bersama rakan sekolah.

Sebagai remaja, katanya, dia tidak ketinggalan menggunakan media sosial untuk berinteraksi, selain berkongsi bacaan al-Qur-an dengan pengikutnya.

“Menggunakan media sosial ini lebih dekat dengan anak muda, malah saya mendapat banyak maklum balas positif daripada rakan-rakan, antaranya ada yang hanya tahu mengenai MTHQA selepas saya memuat naik aktiviti di media sosial.

“Alhamdulillah, selepas itu ramai yang mula menunjukkan minat al-Quran,” katanya.

Nor Farhatul Fairuzah yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini juga berharap lebih ramai golongan muda akan menyertai MTHQA.

“Kalau kita lihat tahun ini pun sudah ramai anak muda sertai MTHQA. Saya harap tahun depan jumlahnya akan bertambah, sekali gus membuktikan orang muda juga boleh menguasai bidang tilawah dan tarannum,” katanya.

Selain Nor Farhatul Fairuzah, qari Malaysia, Abdul Khair Jalil, 40, turut diumumkan johan kategori tilawah pada MTHQA yang berlangsung kelmarin.

Nor Farhatul Fairuzah Panut

- Anak bongsu daripada lima beradik

- Bapanya, Allahyarham Panut Markum dan ibu, Jaliah Simin ialah bekas qari dan qariah

- Bersekolah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Perempuan Labu, Negeri Sembilan

- Mempelajari tarannum sejak usia 5 tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada usia 7 tahun

- Mengamalkan membaca al-Quran selepas solat

- Tidak minum ais bagi menjaga suara

- Bercita-cita mahu menjadi pensyarah

Abdul Khair Jalil

- Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

- Menjadikan pakar taranum, Che Yahya Daud dan bekas qari, Abdul Rahim Ahmad sebagai idola

- Pernah menjadi johan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Selangor sebanyak lima kali

Gambar Kredit: FB Farhatul Fairuzah dan fotoBernama

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan menyampaikan hadiah kepada Johan Kategori Tilawah Nor Farhatul Fairuzah (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan
Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Nor Farhatul Fairuzah bersama ibunya, Jaliah dan keluarga terdekat meraikan kejayaan setelah dinobat Johan Qariah Kategori Tilawah pada MTHQA ke-61.

Nor Farhatul Fairuzah dan Abdul Khair bersama trofi yang dimenangi pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61, malam kelmarin.

Artikel berkaitan:

Tiada petua khusus, anggap al-Quran sebagai sahabat sejati - Ini kata Farhatul, pelajar SMAP Labu

Artikel Menarik:

Tolak tawaran belajar ke luar negara dan tekad ambil STPM.. Habil buat semua ini kerana ibu

'Budak ni biar betul?' - Hadiah hari guru buat cikgu ini terus capai minyak cap Kapak

'Saya belajar bahasa Arab daripada pelancong.' - Tular kisah pelajar sembang dengan pelancong Arab

Dengan ambil kira pandangan semua pihak, Jemaah Menteri bincang isu Program Matrikulasi Rabu ini

'Mereka tak pernah sayang saya, ustaz' - Warganet sebak bila dengar luahan pelajar ini