KUALA LUMPUR - Empat inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi empat pingat platinum dan Anugerah Kreatif Terbaik pada pertandingan International Summit of Innovation and Design Exposition 2019 (InSIDE 2019), baru-baru ini.

Inovasi tersebut ialah Fishduino, Plantduino, Cahaya Kinetrik (dihasilkan oleh pelajar) dan I Force berjaya meraih pingat platinum.

Lebih menggembirakan apabila inovasi I Force yang dihasilkan guru Fizik, Mohd Azif Shukor turut memenangi Anugerah Kreatif Terbaik dan Pembentang Terbaik.

Cikgu Mohd Azif menerima anugerah Best Presenter bagi inovasi I Force.

Cikgu Mohd Azif menunjukkan I Force iaitu alat pembelajaran bagi topik daya dalam mata pelajaran Fizik yang diciptanya.

Kejayaan itu merupakan satu keistimewaan untuk SMK Paya Rumput kerana dapat berkongsi kepakaran dalam mempermudahkan pelajar mempelajari mata pelajaran Fizik.

Pengetua, Rubaiya Abu Nawas berkata, kejayaan sekolah itu dilihat sebagai satu pencapaian yang luar biasa bagi sebuah sekolah menengah pinggir bandar.

"Kreativiti dan inovasi pelajar yang dibimbing oleh guru mampu melahirkan pelbagai rekaan yang memberikan keseronokan dalam pembelajaran kepada pelajar," katanya.

Rubaiya

Pertandingan yang diadakan di Universiti Malaya pada April lalu bertujuan menggalakkan penghasilan inovasi dalam kalangan guru dan pelajar serta melahirkan pelajar berfikiran kritis dan kreatif.

Pencapaian tertinggi

Inovasi Fishduino merupakan sebuah alat untuk memberi makan kepada ikan peliharaan secara automatik menggunakan IOT (Internet of Things) dan Arduino yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar.

Plantduino pula adalah sebuah alat penyiram pokok hiasan secara automatik. Menggunakan 'moist sensor' dan Arduino untuk mengesan kelembapan tanah.

Inovasi cahaya kinetrik merupakan alat bantu mengajar mata pelajaran Sains yang merangkumi aspek tenaga boleh diperbaharui dan penghasilan tenaga elektrik serta menggunakan bahan kitar semula.

Pasukan Cahaya Kinetrik dibimbing guru Matematik, Cikgu Roiamah Basri (kiri).

Projek Cahaya Kinetrik menggabungkan bahan kitar semula dan ilmu Matematik.  

Menurut Rubaiya, kejayaan SMK Paya Rumput dalam pertandingan tersebut merupakan pencapaian tertinggi peringkat antarabangsa.

"Ini penyertaan kali pertama kami pada peringkat antarabangsa dan berjaya memenangi pengiktirafan tertinggi untuk keempat-empat projek... saya harap kejayaan ini akan menyuntik semangat pelajar dan guru untuk mereka cipta dan membuat inovasi yang berguna kepada masyarakat.

"Kejayaan ini juga dikongsi bersama dengan PIBG yang memberi sokongan 100 peratus terutama dari segi kewangan dan dana," katanya.

Kata beliau, pertandingan itu juga secara tidak langsung memberikan peluang untuk semua pelajar menggilap bakat dan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi sebagaimana yang dikehendaki dalam sistem pendidikan kita," ujarnya.

Pasukan inovasi Fishduino bersama-sama guru pembimbing Cikgu Mohd Azif (kanan) dan guru Sains, Cikgu Zakwan Hazmi (kiri).

Cikgu Mohd Azif bersama pasukan inovasi Plantduino yang membawa pulang pingat platinum.