Taman aktiviti tertutup, SuperPark Malaysia yang berkeluasan  40,000 kaki persegi ini, mula dibuka di Malaysia Disember lalu, dan menjadikanya negara Asia ketiga selepas Hong Kong dan Singapura.

Terletak di aras empat, pusat beli-belah Avenue K, berhadapan dengan menara berkembar Petronas, menjadikan taman permainan mesra pengunjung ini menjadi tumpuan warga kota khususnya pelajar untuk beraktiviti.

Pengunjung juga boleh mencuba permainan baseball

Menariknya, lebih 20 aktiviti yang ditawarkan membolehkan pelajar menghabiskan masa untuk berinteraksi, bertanding, mencabar kemampuan dan juga berpeluang mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan.  

Permainan menyeronokkan ini, terbahagi kepada tiga seksyen utama yang merangkumi kawasan permainan Adventure Area, Game Arena dan Freestyle Hall. Ia meliputi permainan berbentuk fizikal, interaktif, intelektual dan mencabar.

Pintu masuk utama SuperPark

Menawarkan keseronokkan yang maksima dan sesuai untuk semua peringkat umur, taman tertutup asal Finland ini bukan sahaja sesuai untuk golongan pelajar, malah guru-guru dan juga ibu bapa turut berpeluang untuk merasai pengalaman yang sama.

Setiap aktiviti di SuperPark Malaysia ini adalah sepenuhnya dalam bangunan. Ibu-bapa mahupun guru-guru yang membawa pelajarnya tidak perlu bimbang dengan masalah cuaca, hujan atau gigitan serangga.

Permainan air hockey sesuai untuk keluarga

Cabaran yang menyeronokkan

Menurut Pengurus Pemasaran Kanannya, Andes Wong Shao Hern, konsep permainan SuperPark, ‘You are made to move’ memerlukan setiap aktiviti itu melakukan pergerakan fizikal dan ada tahap yang perlu dicapai.

Andes Wong Shao Hern

“Kelainan dan cabaran setiap permainan itu membuatkan pengunjung berasa tercabar dan seronok untuk menamatkan permainan hingga ke penghujungnya," kata Andes kepada GPS Bestari.

Superball, boleh bermain secara individu atau berkumpulan.

Tambah Andes, SuperPark mempunyai dua aras tingkat. Ia terbahagi kepada tiga kawasan seperti Adventure Area yang menawarkan permainan seperti 'iwall', 'flying fox', 'tube slide', 'pedal car track' dan banyak lagi.

Game Arena pula untuk permainan jenis baseball, street basketball dan robokeeper. Sementara bahagian ‘freestyle hall’ pula terdiri daripada superclimb, ninja track, skate and scoot world, trampolin platform dan skate rink.

SuperPinball, permainan keluarga yang mengujakan

Istimewanya, SuperPark Malaysia ini juga satu-satunya SuperPark yang memiliki gelanggang ais tiruan. Sekali gus menjadikan ruang tersebut sebagai gelanggang paling popular dan disukai ramai di sini.

Pengunjung juga tidak perlu risau dengan keselamatan anak-anak mereka di sini, SuperPark sendiri telah menyediakan petugas yang mahir dengan permainan yang dikendalikan. Contohnya, bagi pengunjung yang baru pertama kali bermain permainan gelungsur ais dan Superclimb, petugas akan mengajar cara asas untuk bermain. Malah, bantuan paparan digital juga turut  disediakan pada setiap permainan.

Info!

Pakej Sekolah SuperPark termasuk:

1. Diskaun masuk ke SuperPark

2. Stokin percuma untuk pelajar

3. Penggunaan percuma loker

4. Peralatan keselamatan dan kelengkapan

5. Tiket percuma untuk penjaga dan keseronokan tanpa had

Daftarkan Pakej Sekolah anda di [email protected] atau +60327891408 atau layari http://www.superpark.com.my untuk maklumat lanjut.

Apa kata pengunjung

Ardinnie Puteri Danni Erwan, Tahun 3, SK Kota Damansara - “Pengalaman yang 'best' dan menyeronokkan!”

Arique Putera Danni Erwan, Tahun 1, SK Kota Damansara - “Sangat 'best', rasa nak datang lagi di sini.”

Aira Inarah Iskandar Zulkarnain Putera, Tahun 4, Sekolah Antarabangsa Cempaka - “Saya rasa teruja, dan ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan.”

Muhammad Aliff Muqtasim Musyier, Tahun 4, SK Sungai Binjai, Meru - “Kali pertama datang ni, rasa nak datang lagi!”

Isyraq Norsheriman, Tingkatan 3,  Maahad An-Noer - “Saya datang sini dengan keluarga… seronok sangat.”

Aishah Humaira Norsheriman, Tahun 1 - “Kali kedua datang sini. Bila ayah kata nak datang sini, rasa tak sabar sangat.”

Vimales, Tahun 3, SJKT Castfield, Puchong - “Suka datang sini, rasa gembira dan bertenaga!”

Edward, 9 tahun, Singapura -“Ini kali kedua datang sini dengan keluarga. Rasa gembira dan teruja sangat.”

Artikel berkaitan : Kepuasan sebenar pada harga berbaloi