KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Aswara Ke-15.

Penganugerahan tersebut dikurniakan sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi buat Dr Mahathir di atas jasa dan pengorbanan beliau dalam membangunkan serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif dari Rektor Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Madya Sahar Sa'di Hashim pada majlis Istiadat Konvokesyen Aswara Ke-15

Dalam istiadat sama, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali turut dikurniakan anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif) di atas sokongan padu serta mengangkat industri seni persembahan tanah air.

.Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Mohd Ali menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif dari Rektor Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Madya Sahar Sa'di Hashim pada majlis Istiadat Konvokesyen Aswara Ke-15

Anugerah tersebut disampaikan Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Madya Sahar Sa’adi Hashim.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Rashidi Hasbullah.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau dan isteri terharu dengan penganugerahan yang diberikan. Sementelah ia merupakan julung-julung kalinya Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif (Doctor of Creative Arts) diperkenalkan di Malaysia oleh Aswara.

Ahli Lembaga Pengarah Aswara, Datuk Mohamad Nasir Hamzah (tiga dari kiri) bergambar bersama selepas selesai majlis Istiadat Konvokesyen Aswara Ke-15

“Namun apa yang lebih penting, anugerah ini meletakkan seni dan budaya sebagai satu subjek yang perlu mendapat perhatian. Budaya terutamanya boleh menentu jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, bahkan seseorang individu.

“Sekarang sudah sampai masanya kerajaan dan rakyat Malaysia memberi perhatian kepada seni dan budaya Negara kita kerana ia adalah tunjang kepada identiti bangsa,”katanya.

Lebih istimewa, sempena ulang tahun ke-25 Aswara, Istiadat Konvokesyen Aswara pada tahun ini turut melakar sejarah, apabila Panggung Eksperimen Aswara tersebut pernah dirasmikan oleh Perdana Menteri sendiri pada tahun1994.

Graduan Aswara bersama anugerah masing-masing

Sebagai tempat persembahan kesenian budaya warisan melalui hasil kerja pelajar dan pengiat seni tanah air serta persembahan yang melibatkan kesenian antarabangsa.

Dalam majlis itu, menyaksikan seramai 171 graduan daripada tujuh fakulti telah menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan Diploma daripada Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Penulisan Kreatif dan Filem, Tari, Teater, Muzik, Animasi dan Multimedia dan Rekaan Komunikasi Visual. Manakala lima graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah telah menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif.

Pada majlis tersebut juga turut disampaikan Anugerah Khas Seniman Aswara, kepada tiga tokoh penggiat seni yang banyak berjasa kepada dunia seni tanah air, iaitu Allahyarham Johan Mohamed Nawawi, Allahyarham Datuk Abd Rahman Hassan dan Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Graduan Aswara gembira di hari konvokesyen

Sementara itu, Rektor Aswara, Prof Madya Sahar Sa’adi Hashim menjelaskan, sejak penubuhan pada 1994, bermula dengan Akademi Seni Kebangsaan (ASK), ribuan graduan dalam pelbagai bidang seni, budaya dan warisan telah berjaya dilahirkan.

Bagi mencapai visi untuk menjadi peneraju kecemerlangan dalam ketiga-tiga bidang ini, beberapa strategi telah disusun. Ia bertujuan meningkatan tahap kompetensi dan kecemerlangan.

“Sejajar dengan matlamat tersebut, pelan pembangunan pendidikan di Aswara telah dirangka berasaskan lima teras utama, iaitu kecekapan kepimpinan dan organisasi, penyusunan semula kampus, kualiti pensyarah dan pengurusan, bidang penyelidikan, serta persekitaran pembelajaran yang kondusif,”katanya.

Tambahnya, untuk menjayakan agenda tersebut, pelajar dan seluruh warga institusi ini perlu berfikir secara positif untuk bersama-sama memacu agenda meletakkan Aswara sebagai pusat pendidikan seni, budaya dan warisan negara yang terunggul.

Aswara adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang seni yang menawarkan 28 program akademik di peringkat Asasi, Diploma, Vazah Sarjana Muda hingga ke peringkat ljazah Doktor Falsafah dalam bidang berkaitan industri seni dan kreatif. Kesemua program tersebut telah mendapat pengiktirafan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Aizat Amir Ahmad Sanusi (tengah) bersama keluarga

Reaksi

Penerima Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Persembahan dengan Kepujian, Aizat Amir Ahmad Sanusi (kiri) bersama Dekan Fakulti Seni Halus Aswara, Suzlee Ibrahim

“Sudah tentulah saya gembira dan berpuas hati, selain Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Persembahan dengan kepujian, saya turut menerima anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Seni Halus(Anugerah Dimensi), Anugerah Khas Rektor dan Anugerah Rektor. Juga diberikan kepercayaan untuk memberi ucapan bagi wakil graduan Konvokesyen Aswara ke-15. Bidang Seni Halus ini telah banyak mengubah diri saya, dari seorang yang tidak berminat dengan belajar sehingga saya berjaya menamatkan pengajian. Sepanjang pengajian di Aswara, saya telah diterapkan dengan mencari peluang untuk membina nama dalam industri seni visual dia Malaysia. Kami diajar untuk mencari pertandingan dan pameran-pameran terbuka di galeri seni untuk membina nama sebelum melangkah keluar dari Aswara. Fakulti Seni Halus Aswara telah banyak memberi peluang dan ruang kepada pelajar yang ingin mencipta nama sehingga ke peringkat antarabangsa. Saya juga pernah dijemput untuk turut serta dalam ‘Tunisia International Art Workshop’ yang berlangsung di Monastir, Tunisia. Di sebalik kejayaan ini, ibu dan ayah, serta keluargalah yang banyak memberikan dorongan moral dan kewangan selama ini. Serta percaya dengan kebolehan dan minat anaknya ini,” Penerima Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Persembahan dengan Kepujian, Aizat Amir Ahmad Sanusi.

Penerima Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian, Douglas Philip Labadin bersama keluarga

“Saya memilih seni tari, setelah mendapat inspirasi daripada filem-filem seperti High School Musical dan Camp Rock. Itulah yang menyebabkan saya rasa bersemangat untuk mengasah bakat saya dalam bidang tarian. Selain itu, perasaan menari di atas pentas memberikan pengalaman yang luar biasa, terutamanya bila dapat menari tarian-tarian tradisional di Malaysia. Di sebalik kejayaan ini, keluarga dan guru-gurulah yang banyak memberikan semangat dan dorongan. Tidak lupa juga kepada kawan-kawan saya yang banyak memberi kata-kata semangat untuk terus menjadi yang lebih baik daripada semalam. Sepanjang pengajian, saya pernah buat persembahan di beberapa negara seperti di Muara Festival 2017, Singapura Festival Siak Bermadah 2016, Riau Culture Festival 2016, dan di Songkhla,” Penerima Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian, Douglas Philip Labadin

Penerima Anugerah Ijazah Sarjana Seni Kreatif, Kamarul Baisah Hussien (kanan) bersama Pendaftar Aswara, Md Zusmaidi Abdul Aziz

“Jiwa saya sudah sebati dengan Aswara sejak tahun 2004 lagi. Pada hari ni saya betul-betul dapat merasai kepuasan setelah empat tahun mengikuti program Ijazah Sarjana Seni Kreatif di Aaswara. Banyak halangan dan dugaan yang telah saya lalui dan tempuhi, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk mendapatkan kejayaan,” Penerima Anugerah Ijazah Sarjana Seni Kreatif, Kamarul Baisah Hussien (kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah Aswara, Md Zusmaidi Abdul Aziz.