Pembukaan sesi persekolahan di musim pandemik Covid-19 ini menuntut pihak Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tampil dengan lima jenis Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah.

Lima model pengawalan keberadaan murid diperkenalkan untuk dilaksana di sekolah mengikut kesesuaian masing-masing iaitu pertama - ruang menunggu di dalam kawasan sekolah; kedua - laluan terarah sehala dan ketiga - kawalan keberadaan murid oleh polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni, Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KSIB) sukarelawan.

Model keempat adalah penyuraian murid secara berperingkat dan kelima adalah menunggu di dalam bilik darjah dengan menggunakan sistem panggilan.

Berikutan itu, ada sesetengah sekolah mengambil inisiatif meminta ibu bapa atau penjaga untuk menyediakan sepanduk nama atau flash card bagi memudahkan proses mengenalpasti nama murid oleh guru bertugas.

Malah, ada sekolah yang sudah berjaya melaksanakan kaedah berkenaan sekali gus memastikan penjarakkan sosial sentiasa terkawal.

Antara sepanduk nama yang digunakan oleh ibu bapa untuk memudahkan proses penyuraian murid.

Melalui tinjauan di media sosial Facebook, GPS Bestari berkongsi beberapa pandangan ibu bapa dan penjaga yang terbabit dalam menyediakan sepanduk nama ini untuk memudahkan sesi penyuraian murid di sekolah masing-masing.

Bagi Farini Othman, beliau berpendapat kaedah itu bertujuan untuk memudahkan proses penyuraian murid dan ia terpulang kepada pihak sekolah untuk memilih mana-mana kaedah yang difikirkan sesuai.

"Memang ada dinyatakan dalam SOP sekolah, ibu bapa disarankan buat sepanduk nama untuk panggil anak. Murid berkumpul di kantin dan tidak dibenarkan keluar dari sekolah untuk mengekalkan penjarakan sosial dan tidak dapat melihat kehadiran ibu bapa masing-masing.

"Jadi, dengan adanya sepanduk nama ini, anak boleh tahu ibu bapa mereka sudah tiba di sekolah malah guru atau rakan-rakan boleh tolong panggilkan murid berkenaan. Tidak dinafikan ia membantu mempercepatkan proses penyuraian berbanding mereka yang tidak menggunakan sepanduk nama," katanya yang bersetuju dengan kaedah yang digunakan itu.

http://gui.sinarharian.com.my:8080/polopoly/polopoly_fs/1.938958.1616592643!/image/image.jpeg

Pelbagai jenis sepanduk nama dihasilkan ibu bapa untuk digunakan ketika mengambil anak pulang dari sekolah.

Sementara itu, seorang lagi ibu kepada tiga orang anak, Alin Syukor turut sependapat bahawa kaedah berkenaan sesuai digunakan untuk penyuraian murid terutama bagi murid Tahap 1 yang terpaksa berdepan pelbagai SOP kerana bersekolah di musim pandemik.

"Meskipun begitu, mungkin ada ibu bapa yang segan atau tidak biasa dengan pendekatan sedemikian. Jadi mereka memilih menggunakan kaedah biasa dengan menunggu kehadiran anak masing-masing di dalam kereta, apatah lagi jika anak yang bersekolah itu sudah berada di Tahap 2 dan pandai berdikari.

"Semuanya terpulang kepada ibu bapa dan pihak sekolah dalam membantu memudahkan proses penyuraian murid ini supaya penjarakkan sosial dapat diamalkan sekali gus mengelakkan berlakunya penularan virus di sekolah," katanya.

Siti Salwa Ahmad Zur turut membuat sepanduk nama bagi memudahkan beliau untuk mengambil anak ketika pulang dari sekolah sekali gus menjimatkan masa dan memberi peluang kepada beliau untuk membuat urusan lain.

Tidak kira apa kaedah yang digunakan oleh pihak sekolah, semua ibu bapa diharap dapat mematuhi SOP yang ditetapkan supaya penularan Covid-19 di sekolah dapat dielakkan.

Artikel menarik

USIM lancar Grup USIM Art Prosumer, kongsi kepakaran seni kepada komuniti

Siapa sangka, karya pelajar Malaysia mampu diterbitkan dalam majalah di luar negara